Kompleks Sukan Membakut dirancang dalam RMK-13

KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah merancang membina Kompleks Sukan Membakut di bawah projek pembangunan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13) bagi memperkukuhkan pembangunan sukan dan menyediakan kemudahan yang lebih lengkap kepada masyarakat di kawasan itu.
Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif Sabah, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan, berkata projek berkenaan sudah disenaraikan dalam perancangan pembangunan RMK-13 dan kini berada pada peringkat awal pelaksanaan.
Katanya, langkah seterusnya adalah proses pewartaan tanah yang telah dikenal pasti sebagai tapak cadangan pembinaan kompleks sukan berkenaan.
“Anggaran kos sebenar serta tempoh pelaksanaan projek akan diperincikan selepas semua prosedur dipatuhi, termasuk proses pengambilan tanah dan kelulusan pihak berkuasa tempatan (PBT),” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bongawan, Dr Daud Yusof, pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah di sini, pada Isnin.
Mengulas lanjut, Nizam berkata, beliau bersama ADUN Membakut serta pegawai kementerian turut mengadakan lawatan ke tapak cadangan projek pada 18 Julai lalu bagi menilai kesesuaian lokasi.
Menurutnya, kementerian kini sedang mengenal pasti keperluan teknikal dan kesesuaian tapak termasuk keluasan tanah, akses jalan, kemudahan utiliti asas serta potensi pembangunan jangka panjang.
“Langkah ini penting bagi memastikan projek dapat dilaksanakan secara terancang, berkesan dan memenuhi keperluan masyarakat setempat,” katanya.
Dalam perkembangan sama, Nizam berkata, cadangan pembinaan Mini Kompleks Sukan Sungai Manila pula akan dipertimbangkan di bawah projek pembangunan Rancangan Malaysia yang akan datang.
Katanya, cadangan itu bagaimanapun tertakluk kepada ketersediaan tapak yang sesuai serta kelulusan peruntukan kerajaan.
“Setakat ini belum ada tapak tanah yang dikenal pasti bagi projek berkenaan.
“Selain itu, jarak Kompleks Sukan Sandakan dengan kawasan Sungai Manila adalah berhampiran dan semua aktiviti sukan dari kawasan berkenaan masih boleh dilaksanakan di Kompleks Sukan Sandakan,” katanya.
Beliau berkata, Kompleks Sukan Sandakan juga kini sedang melalui proses naik taraf bagi meningkatkan kemudahan serta kualiti fasiliti sedia ada demi memberi keselesaan kepada pengguna dan atlet.

NIZAM