Perluas akses penyelesaian pertikaian
Oleh Wu Vuide
KOTA KINABALU: Pusat Timbang Tara dan Mediasi Antarabangsa Borneo (BICAM) melancarkan Inisiatif Mediasi Pro Bono bagi memberi akses lebih luas kepada individu serta perusahaan kecil mendapatkan perkhidmatan penyelesaian pertikaian secara profesional.
Inisiatif itu dilancarkan oleh Timbalan Ketua Menteri II merangkap Menteri Kewangan Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun sempena program Bicam Global ADR Horizons 2026, di sini.
Masidi berkata, akses kepada keadilan tidak seharusnya bergantung kepada kemampuan kewangan seseorang, terutama apabila kos, tempoh dan tekanan akibat pertikaian boleh menjejaskan mata pencarian, perniagaan keluarga, kontraktor, pembekal serta komuniti.
Beliau berkata, inisiatif berkenaan membawa perkhidmatan mediasi profesional lebih dekat kepada golongan yang sebelum ini mungkin tidak mempunyai akses, selain menyediakan platform yang diyakini untuk menyelesaikan pertikaian secara baik, cekap dan bermaruah.
Menurutnya, inisiatif itu dibangunkan dengan kerjasama institusi kehakiman serta mendapat sokongan komuniti perundangan dan pengamal mediasi bagi melengkapkan proses kehakiman sedia ada.
“Ia menggalakkan penyelesaian awal, mengurangkan kos yang tidak perlu serta membantu pihak terbabit menyelesaikan pertikaian sebelum menjadi lebih rumit,” katanya.
Masidi berkata, mediasi merupakan pendekatan praktikal dan berpandangan jauh yang memberi ruang kepada semua pihak untuk didengar, mengekalkan hubungan serta menghasilkan penyelesaian yang mengambil kira hak undang-undang, realiti komersial, nilai masyarakat dan pertimbangan yang munasabah.
Beliau turut memuji pengantara dan pengamal undang-undang yang menyumbangkan masa serta kepakaran mereka dalam program itu, sambil menyifatkan khidmat pro bono sebagai manifestasi penting tanggungjawab profesional dan komitmen terhadap kepentingan awam.
Masidi berkata, perkembangan Bicam bukan sahaja penting kepada profesion guaman, malah kepada Sabah kerana institusi penyelesaian pertikaian yang kukuh dan bebas mampu meningkatkan keyakinan pelabur, memperkukuh kepastian komersial serta menyokong daya saing ekonomi negeri dalam jangka panjang.
Beliau turut menegaskan komitmen berterusan Kerajaan Negeri untuk menyokong Bicam, sambil mengekalkan kebebasan institusi itu.
“Keberkesanan penyelesaian pertikaian bukan sekadar perkhidmatan undang-undang, tetapi menjadi asas kepada keyakinan ekonomi, tadbir urus yang baik dan pembangunan mampan,” katanya.
Persidangan Bicam Global ADR Horizons 2026 menghimpunkan hakim, pengamal undang-undang, penimbang tara, pengantara, pemimpin industri, ahli akademik serta rakan institusi bagi membincangkan isu berkaitan timbang tara antarabangsa, pelaburan, pertikaian pembinaan, kecerdasan buatan (AI) dan peranan penyelesaian pertikaian alternatif (ADR) yang semakin berkembang di rantau ini.
Turut hadir Pengerusi Bicam, Tan Sri David Wong, dan Hakim Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu, Datuk Celestina Stuel Galid.

Masidi (tengah) menerima cenderamata daripada David (kanan) sambil diperhatikan Celestina.






