LRA Kogopon, loji muka sauk Kabang selesai isu bekalan air menjelang hujung tahun

PAPAR: Loji Rawatan Air (LRA) Kogopon berkapasiti 80 juta liter sehari (MLD) serta loji muka sauk baharu di Kabang dijangka mula beroperasi masing-masing pada November dan September tahun ini.
Kedua-dua projek berimpak tinggi itu dijangka membantu mengatasi masalah kekurangan bekalan air di Papar, Putatan dan Kimanis.
Sehubungan itu, Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor mengarahkan Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) memantau rapi pelaksanaan kedua-dua projek berkenaan bagi memastikan ia disiapkan mengikut jadual tanpa sebarang kelewatan.
Beliau turut menggesa jabatan itu supaya lebih proaktif dalam menangani gangguan bekalan air dengan menghantar lori tangki ke kawasan terjejas, bukan sahaja di Papar malah di seluruh negeri.
“Masalah bekalan air merupakan isu legasi, namun sebagai kerajaan yang bertanggungjawab, kita komited untuk menyelesaikannya.
“Saya sendiri menerima banyak aduan. Saya berharap jabatan memberi perhatian serius terhadap isu ini dan memastikan rakyat tidak terus berdepan masalah bekalan air,” katanya ketika mendengar taklimat mengenai kedua-dua projek itu di Langkah Syabas Resort, dekat sini.
Terdahulu, Pengarah Jabatan Air Negeri Sabah, Chee Chun Chieh memaklumkan kepada Ketua Menteri bahawa projek LRA Kogopon bernilai RM365.9 juta dijadualkan mula membekalkan air menjelang akhir November ini.
Turut hadir Timbalan Ketua Menteri I merangkap Menteri Kerja Raya dan Utiliti, Datuk Seri Panglima Joachim Gunsalam serta Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali yang juga Ahli Parlimen Papar.
Walaupun keseluruhan projek LRA Kogopon dijangka siap sepenuhnya pada 2028, Chee berkata loji itu akan mula membekalkan air kepada pengguna di Papar, Putatan hingga Kimanis sebelum penghujung tahun ini.
Mengenai projek loji muka sauk Kabang bernilai RM39.73 juta, beliau berkata pembinaannya kini mencapai 90 peratus dan dijangka mula beroperasi pada September ini.
Loji muka sauk baharu itu akan meningkatkan kapasiti pengambilan air daripada sembilan MLD kepada 30 MLD. Ia dibina lebih jauh di hulu Sungai Papar di kawasan Kabang bagi mengatasi masalah kemasinan air yang sering menjejaskan operasi Loji Rawatan Air di bawah Skim Bekalan Air Kecemasan (EWSS) serta kemudahan pengambilan air sedia ada di Limbahau.

TAKLIMAT …. Hajiji (dua kiri), bersama Armizan dan rombongan mendengar taklimat daripada Chee Chun Chieh (tiga kanan), mengenai kemajuan projek LRA Kogopon dan loji muka sauk Kabang di Papar.