Oleh FARDY BUNGGA
KOTA KINABALU: Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu memohon bantuan orang ramai untuk mengesan seorang remaja yang hilang selepas tidak hadir ke sekolah pada Isnin.
Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Superintendan Syed Lot Syed Ab Rahman berkata, remaja berusia 13 tahun itu dikenali sebagai Gwynne Mia Erbin.
Katanya, mangsa berbangsa Lundayeh dan beralamat di No. 55, Lorong Raja Udang 2, Taman Kingfisher, Kota Kinabalu.
“Gwynne mempunyai ciri-ciri fizikal berbadan sederhana, berkulit cerah, berketinggian kira-kira 155 sentimeter, bermata coklat, berbulu kening tebal, berambut hitam pendek serta mempunyai bibir tebal.
“Beliau bertutur dalam Bahasa Melayu dan tidak mempunyai sebarang kecacatan fizikal atau mental,” katanya dalam kenyataan media.
Menurutnya, hasil siasatan awal, mangsa dilaporkan hilang pada 27 Julai lalu selepas dihantar ke hadapan SMK Lok Yuk, Likas pada jam 5.55 pagi untuk menghadiri sesi persekolahan.
“Bagaimanapun, mangsa didapati tidak hadir ke sekolah dan sehingga kini masih gagal dikesan.
“Ketika kali terakhir dilihat, Gwynne memakai pakaian seragam sekolah jenis pinafore berwarna biru, kasut putih serta membawa sebuah beg berwarna putih bercorak bunga.
“Ahli keluarga telah menjalankan pelbagai usaha bagi mengesan keberadaan mangsa, termasuk membuat hebahan menerusi kumpulan WhatsApp keluarga dan komuniti, namun usaha tersebut masih belum membuahkan hasil,” katanya.
Sehubungan itu, orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan keberadaan Gwynne Mia Erbin diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi IPD Kota Kinabalu di talian 088-529222.
Katanya, maklumat juga boleh disalurkan kepada pegawai penyiasat, Inspektor Kamarul Rashdan Suffian Long di talian 014-8458490.
“Polis turut merayu kerjasama orang ramai untuk menyalurkan sebarang maklumat yang boleh membantu mengesan mangsa dengan segera,” katanya.

Gwynne Mia Erbin hilang sejak Isnin lalu.








