Operasi bersepadu: 43 sambungan paip air haram dipotong, seorang suspek ditahan di Sandakan

Oleh JAMES LEONG


SANDAKAN: Sebanyak 43 sambungan paip air haram dipotong manakala seorang suspek ditahan dalam operasi penguatkuasaan bersepadu bagi membanteras kegiatan kecurian air di penempatan setinggan Mangkalinau, Batu 3, di sini, pada Selasa.
Operasi yang berlangsung dari jam 7 pagi hingga 3 petang itu membabitkan 89 anggota penguat kuasa daripada 18 agensi, dengan turut disertai wakil media.
Selain penahanan suspek, pihak berkuasa turut merampas dua unit pam air yang dipercayai digunakan bagi aktiviti penyambungan bekalan air secara haram.
Menurut Jabatan Air Negeri Sabah (JANS), kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 49(b) Enakmen Bekalan Air Sabah 2003 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM100,000 atau penjara sehingga setahun, atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Operasi itu merupakan sebahagian daripada usaha berterusan JANS bagi menangani peningkatan kadar Air Tidak Berhasil (Non-Revenue Water, NRW) di kawasan Sandakan yang berpunca daripada kecurian air dan sambungan haram.
Dalam operasi sama, Sabah Electricity turut memotong 40 sambungan bekalan elektrik haram dengan jumlah berat kabel yang dirampas sebanyak 82 kilogram.
Sementara itu, Majlis Perbandaran Sandakan (MPS) mengeluarkan tiga kompaun serta merampas 11 bungkus rokok dalam pemeriksaan yang dijalankan di kawasan berkenaan.
JANS menegaskan operasi penguatkuasaan akan diteruskan secara berkala di beberapa lokasi panas lain yang telah dikenal pasti bagi membanteras kegiatan kecurian air, sekali gus memastikan kelestarian bekalan air kepada pengguna yang sah serta mengurangkan kadar kehilangan air di negeri ini.

Sebanyak 43 sambungan paip air haram dipotong dalam operasi penguatkuasaan bersepadu bagi membanteras kegiatan kecurian air di penempatan setinggan Mangkalinau, Batu 3, di sini, pada Selasa.-(Gambar Fail).