Dua lelaki ditahan disyaki terbabit kes peras ugut

TAWAU: Polis menahan dua lelaki tempatan yang disyaki terbabit dalam satu kes pemerasan terhadap seorang lelaki dalam operasi di laluan pejalan kaki sebuah kompleks beli-belah di sini.
Ketua Polis Daerah Tawau, Superintendan Wilynton Enchana Watt berkata, kedua-dua suspek ditahan sepasukan pegawai dan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau pada 27 Julai lalu susulan siasatan terhadap satu laporan polis yang dibuat mangsa.
Menurutnya, siasatan awal mendapati kedua-dua suspek dipercayai meminta sejumlah wang daripada mangsa dengan ugutan akan mendedahkan satu kejadian tertentu kepada pihak lain sekiranya mangsa gagal memenuhi tuntutan berkenaan.
“Susulan penahanan itu, polis turut merampas dua telefon bimbit milik suspek yang dipercayai mempunyai kaitan dengan siasatan kes ini,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata, kedua-dua suspek kini ditahan di IPD Tawau bagi membantu siasatan lanjut.
Kes disiasat mengikut Seksyen 385 Kanun Keseksaan kerana melakukan pemerasan.-James Leong

Superintendan Wilynton Enchana Watt.