Anak Dusun Gana dari Bingkor raih Biasiswa Cemerlang Negeri Sabah

KOTA KINABALU: Anak jati Kampung Sandapak, Bingkor, Anne Mercy Victor Jalius, 19, membuktikan kemampuan anak pedalaman Sabah apabila dipilih sebagai penerima Anugerah Biasiswa Cemerlang Negeri Sabah (ABCNS) Siri Ke-37 selepas memperoleh Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 4.00 di Kolej Matrikulasi Labuan.
Beliau menerima anugerah berprestij itu pada Majlis Penyampaian ABCNS Siri Ke-37 yang disempurnakan Ketua Menteri Sabah merangkap Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Sabah, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor, di Sabah International Convention Centre (SICC), di sini, semalam.
Anne Mercy berkata, pengiktirafan itu menjadi pemangkin untuk meneruskan pengajian ke peringkat lebih tinggi demi merealisasikan cita-citanya menyumbang kepada pembangunan negeri dan negara.
Beliau ditemani ibu bapanya, Victor Jalius yang berasal dari Kampung Taviu, Telupid dan Pauline Yukau Ungkiu Singgon daripada komuniti Dusun Gana di Kampung Sandapak, Bingkor. Kehadiran mereka mencerminkan sokongan padu keluarga yang menjadi tunjang kejayaan akademiknya.
Anne Mercy memulakan pendidikan di Tadika Lok Yuk Keningau sebelum meneruskan persekolahan di SJK (C) Yuk Kong Keningau dan SM Ken Hwa Keningau. Beliau kemudian melanjutkan pengajian di Kolej Matrikulasi Labuan dan menamatkan pengajian dengan PNGK 4.00.
Majlis itu turut menyaksikan 50 pelajar menerima ABCNS, 60 pelajar menerima Anugerah Biasiswa Cemerlang Kerajaan Negeri Sabah (ABCKNS) dan 17 pelajar menerima Anugerah Cemerlang MUIS.
Dalam ucapannya, Hajiji berkata kerajaan negeri memperuntukkan lebih RM100 juta bagi Biasiswa Kerajaan Negeri Sabah (BKNS) tahun ini untuk menampung penerima sedia ada dan tajaan baharu membabitkan 2,182 pelajar di peringkat diploma, ijazah sarjana muda dan sarjana.
Beliau berkata, penekanan turut diberikan kepada bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) bagi memenuhi keperluan pembangunan negeri serta melahirkan lebih ramai modal insan berkemahiran tinggi dan berdaya saing.
Majlis itu turut dihadiri Pengarah Yayasan Sabah, Datuk Seri Dr Gulamhaidar Khan Bahadar, dan Pengerusi Eksekutif Innoprise Corporation Sdn Bhd, Datuk Jasnih Haji Daya.
Kejayaan Anne Mercy menjadi bukti bahawa anak-anak pedalaman Sabah mampu mencipta kecemerlangan apabila diberi akses kepada pendidikan berkualiti serta sokongan berterusan daripada keluarga, guru dan kerajaan.

Anne Mercy