Sabah, Melaka perkukuh kerjasama strategik sektor pelancongan

Oleh JOHN TAMBANAN


ALOR GAJAH: Sabah dan Melaka bersetuju memperkukuh kerjasama strategik dalam sektor pelancongan menerusi pelaksanaan promosi bersama, pertukaran maklumat teknikal serta pembangunan pakej pelancongan yang menghubungkan destinasi utama di kedua-dua negeri.
Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Jafry Ariffin, berkata kerjasama itu diyakini mampu memberi manfaat kepada industri pelancongan, komuniti setempat dan ekonomi negeri, sekali gus menyokong agenda pembangunan pelancongan negara.
Beliau berkata demikian selepas mengadakan Sesi Libat Urus Strategik bersama Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya Melaka, Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman, di Park Royal A’Famosa, di sini, semalam.
Menurut Jafry, pertemuan itu menjadi platform untuk bertukar pandangan, berkongsi amalan terbaik serta meneroka peluang kerjasama dalam memperkukuh industri pelancongan domestik dan antarabangsa.
“Sabah dan Melaka masing-masing mempunyai keunikan tersendiri. Sabah terkenal dengan biodiversiti, ekopelancongan serta kepelbagaian budaya etnik, manakala Melaka diiktiraf sebagai Bandar Warisan Dunia UNESCO yang kaya dengan sejarah dan warisan. Gabungan kekuatan ini mampu meningkatkan daya tarikan industri pelancongan negara,” katanya.
Beliau berkata, sesi itu turut membincangkan kerjasama dalam promosi pelancongan, pembangunan produk berasaskan warisan dan budaya, pemuliharaan tapak warisan, pengurusan muzium, pembangunan industri kreatif serta pertukaran kepakaran antara agensi berkaitan.
Katanya, kerjasama rentas negeri penting bagi memastikan Malaysia terus menawarkan pengalaman pelancongan yang pelbagai, berkualiti dan berdaya saing, selaras dengan usaha meningkatkan ketibaan pelancong.
Sesi itu turut dihadiri Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya Melaka, Datuk Zaidi Atan; Pengurus Besar Bahagian Promosi Pelancongan Jabatan Ketua Menteri Melaka, Nasrul Ahmad; Pengarah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Melaka, Mohamad Bukhari Che Man; serta wakil pelbagai jabatan dan agensi berkaitan pelancongan, warisan dan kebudayaan negeri.

CENDERAHATI …. Jafry (kiri) menyampaikan cenderahati berupa patung ikonik orang utan Sabah kepada Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman sebagai simbol persahabatan serta pengukuhan kerjasama dalam bidang pelancongan, warisan dan kebudayaan antara Sabah dan Melaka.