Festival Budaya dan Ekonomi Kreatif Bajau 2026 perkasa warisan, ekonomi kreatif Sabah – Rina

SEMPORNA: Festival Budaya dan Ekonomi Kreatif Bajau Sabah 2026 berjaya menghimpunkan penyertaan komuniti, penggiat seni dan usahawan kreatif dari enam daerah di Sabah, sekali gus memperkukuh usaha memelihara warisan budaya Bajau serta merancakkan pembangunan ekonomi kreatif negeri.
Festival selama tiga hari bermula 24 hingga 26 Julai di Dewan Arena Belia Semporna itu dianjurkan Pertubuhan Kreatif Seni Bajau Semporna (PKSBS) dengan sokongan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah (KePKAS), Pejabat Daerah Semporna serta beberapa agensi kerajaan dan rakan strategik.
Majlis prapelancaran festival disempurnakan Penolong Pegawai Daerah Semporna, Haji Abd Aziz Haji Bool, yang mewakili Pegawai Daerah Semporna, Maz Syazwan Datuk Haji Masood.
Sepanjang penganjuran, pelbagai program diadakan termasuk pertandingan Tarian Igal-Igal Tradisional dan Kreasi, nyanyian, Tarian Perpaduan Etnik, dramatari, peragaan busana kreatif warisan etnik, kulinari tradisional, Pencarian Ratu Seaweed 2026 bagi beberapa kategori serta Pencarian Raja Igal Sabah 2026.
Festival itu turut menampilkan pameran kraftangan, jualan produk usahawan tempatan dan pameran ekonomi kreatif yang memberi peluang kepada pengusaha mempromosikan hasil seni, budaya serta produk komuniti kepada pengunjung.
Penyertaan melibatkan wakil dari Semporna, Tawau, Kunak, Lahad Datu, Sandakan dan Kota Kinabalu, sekali gus mencerminkan peningkatan minat masyarakat terhadap festival berkenaan yang berpotensi menjadi antara acara kebudayaan utama di Sabah.
Majlis perasmian dan penutupan disempurnakan Pembantu Menteri Wanita, Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri Kukusan, Datuk Rina Haji Jainal.
Kemuncak festival menyaksikan pemasyhuran Deklarasi Semporna 2026: Pemerkasaan Warisan Budaya Bajau, sebagai komitmen bersama untuk memelihara, memperkasa dan mempromosikan warisan budaya Bajau kepada generasi akan datang.
Presiden PKSBS, Nazmahwati Walli, berkata festival itu bukan sekadar platform pertandingan, malah menjadi wadah menghimpunkan masyarakat, penggiat seni, usahawan kreatif dan generasi muda dalam memperkukuh identiti budaya Bajau serta menyokong pembangunan pelancongan budaya di Sabah.
Beliau berkata pihaknya berharap festival berkenaan akan terus berkembang sebagai program berimpak tinggi yang mampu mengangkat Semporna sebagai pusat warisan budaya Bajau dan destinasi pelancongan budaya yang memberi manfaat kepada ekonomi komuniti setempat.
Nazmahwati turut merakamkan penghargaan kepada semua kementerian, agensi kerajaan, rakan strategik, panel juri, peserta, sukarelawan, media dan masyarakat yang menjayakan penganjuran festival itu.

BERIMPAK TINGGI …. Rina bergambar bersama peserta pada Festival Budaya dan Ekonomi Kreatif Bajau Sabah 2026 di Dewan Arena Belia Semporna.

DEKLARASI …. Rina meneliti Deklarasi Semporna 2026: Pemerkasaan Warisan Budaya Bajau sambil diperhatikan Presiden PKSBS, Nazmahwati Walli.

PENYERAHAN …. Nazmahwati Walli menyerahkan Deklarasi Semporna 2026 kepada Datuk Rina Haji Jainal.