PPM rampas rokok seludup bernilai RM167,000

Oleh FARDY BUNGGA


TENOM: Pasukan Polis Marin (PPM) Sabah berjaya merampas pelbagai rokok seludup yang disyaki tidak bercukai dalam serbuan di Kampung Amboi, di sini, semalam.
Dalam operasi jam 8.20 pagi itu, semua rokok bernilai RM167,520 itu ditemui disembunyikan di dalam sebuah stor bagi mengaburi mata pihak berkuasa.
Komander PPM Wilayah 4 Sabah, Asisten Komisioner Ahmad Amri Abd Rahman berkata, operasi dijalankan bersama Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tenom.
Katanya, hasil pemeriksaan, pasukan operasi berjaya menemukan 134,600 batang rokok dipercayai tidak bercukai.
“Seorang lelaki yang dipercayai penjaga stor berkenaan bagaimanapun melarikan diri ke kawasan kebun getah berhampiran sebaik menyedari kehadiran pasukan penguat kuasa,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan semalam.
Menurutnya, siasatan lanjut sedang giat dijalankan mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967.
Sementara itu, Ahmad Amri berkata, sehingga 30 Julai lalu, PPM Wilayah 4 Sabah merekodkan sebanyak 44 kes di bawah Akta Kastam 1967.
Katanya, semua kes berkenaan turut melibatkan penahanan 30 individu dan rampasan keseluruhan bernilal RM6.208 juta.
“PPM Wilayah 4 Sabah akan terus mempergiat operasi penguatkuasaan bagi membanteras kegiatan penyeludupan demi melindungi keselamatan serta kepentingan ekonomi negara,” katanya.

Pelbagai jenis rokok bernilai RM167,520 yang berjaya dirampas.