Hajiji serah bantuan YKS RM30,600 kepada 102 KIR mangsa banjir Tawau

KOTA KINABALU: Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor menyerahkan bantuan Yayasan Kebajikan Sabah (YKS) berjumlah RM30,600 kepada 102 Ketua Isi Rumah (KIR) yang terjejas akibat banjir di Tawau, baru-baru ini.
Bantuan sebanyak RM300 kepada setiap KIR itu disampaikan bagi pihak beliau oleh Presiden Majlis Perbandaran Tawau, Mohd Shoffian Mohd Said, sebagai usaha meringankan beban keluarga yang terkesan akibat bencana berkenaan.
Hajiji turut merakamkan penghargaan kepada semua petugas pengurusan bencana yang bertungkus-lumus membantu mangsa banjir sepanjang kejadian itu, termasuk Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Tawau serta semua agensi dan jawatankuasa yang terlibat.
Beliau berkata, komitmen dan kerjasama semua pihak dalam operasi menyelamat, pengurusan Pusat Pemindahan Sementara (PPS) serta penyampaian bantuan telah memastikan kebajikan mangsa sentiasa terpelihara sepanjang bencana itu.
Banjir yang melanda Tawau baru-baru ini menjejaskan 102 KIR membabitkan 362 mangsa, terdiri daripada 217 orang dewasa, 109 kanak-kanak, 28 warga emas dan lapan bayi. Kesemua mangsa ditempatkan di PPS Dewan Serbaguna Kompleks Sukan Tawau sebelum dibenarkan pulang ke kediaman masing-masing selepas keadaan kembali pulih.
Majlis penyerahan bantuan itu turut dihadiri Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif Sabah, Datuk Haji Nizam Datuk Seri Panglima Abu Bakar Titingan yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Apas; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Zainudin Aman; Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) merangkap Ahli Parlimen Tawau, Datuk Lo Su Fui; serta Pengarah Yayasan Kebajikan Sabah, Datuk Hajah Diyanah Abdullah.-John Tambanan.

SAMPAIKAN …. Hajiji menyampaikan sumbangan YKS kepada 102 KIR mangsa banjir di Tawau melalui Presiden Majlis Perbandaran Tawau, Mohd Shoffian Mohd Said.