Dr Rockey sah tanding Ketua Exco Pemuda PBS Pusat

Oleh JOHN TAMBANAN


KOTA KINABALU: Ketua Bahagian Parti Bersatu Sabah (PBS) Tambunan, Dr Rockey Jerome Budin, mengesahkan penyertaannya dalam pemilihan jawatan Ketua Exco Pergerakan Pemuda PBS Pusat selepas memenuhi syarat kelayakan berdasarkan jumlah pencalonan diterima daripada Ketua Pemuda Bahagian di seluruh Sabah.
Pengesahan itu dibuat menerusi pemeteraian borang pencalonan di Pejabat PBS Pusat, di sini, sekali gus menandakan kesediaannya menawarkan kepimpinan baharu kepada Pergerakan Pemuda PBS pada pemilihan sempena Persidangan Agung Tahunan PBS Kali Ke-41 Peringkat Negeri Sabah yang dijadualkan berlangsung September ini.
Dr Rockey merakamkan penghargaan kepada semua Ketua Pemuda Bahagian yang memberikan kepercayaan dan sokongan dengan mencalonkan beliau bagi jawatan berkenaan.
“Saya amat menghargai kepercayaan yang diberikan. Pencalonan ini bukan sekadar penghormatan, tetapi amanah besar yang akan saya pikul dengan penuh tanggungjawab, keikhlasan dan semangat perjuangan demi masa depan Pergerakan Pemuda PBS,” katanya.
Beliau berkata, sekiranya diberi mandat, keutamaannya adalah memperkukuh organisasi Pemuda PBS supaya lebih tersusun, progresif dan inklusif, selain bersedia menghadapi cabaran politik serta aspirasi generasi muda.
Antara agenda yang akan diberi tumpuan ialah memperkasakan organisasi di semua peringkat, memperluas penyertaan belia dalam parti, melahirkan pemimpin muda berwibawa serta mempertingkat latihan kepimpinan dan kemahiran politik.
Katanya, penggunaan media digital turut akan diperkasa sebagai medium komunikasi, selain menggerakkan agenda ekonomi, keusahawanan dan pembangunan belia yang memberi manfaat kepada generasi muda Sabah.
Dr Rockey berkata, kekuatan pergerakan itu bergantung kepada perpaduan dan kerjasama erat semua Ketua Pemuda Bahagian, jawatankuasa serta jentera akar umbi.
“Saya memohon sokongan dan kepercayaan seluruh Ketua Pemuda Bahagian serta perwakilan. Jika diberi mandat, saya berjanji memimpin dengan integriti, mengamalkan kepimpinan berpasukan dan sentiasa mendengar suara akar umbi,” katanya.

FOTO – Dr Rockey