Oleh JOHN TAMBANAN
PENAMPANG: Jawatan Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) merupakan satu amanah besar, dengan fokus utama memastikan pembangunan dan kemajuan kampung dapat dilaksanakan secara berkesan.
Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri Sabah, Datuk Ceasar Mandela Malakun, berkata JKKK adalah nadi kepada pentadbiran kampung dan menjadi jambatan utama antara kerajaan dengan rakyat di peringkat akar umbi.
Sehubungan itu, beliau menyeru semua pengerusi JKKK di daerah berkenaan supaya melaksanakan tanggungjawab dengan penuh amanah, dedikasi dan integriti.
“Sebagai pemimpin masyarakat di peringkat akar umbi, pengerusi JKKK hendaklah sentiasa bersedia mendengar suara rakyat serta bertindak dengan penuh integriti dan keikhlasan.
“Pada masa sama, mereka perlu menyampaikan keperluan rakyat kepada kerajaan, khususnya berkaitan masalah infrastruktur, kebajikan, sosial dan sebagainya,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri Majlis Penyampaian Watikah Pengerusi JKKK Parlimen Penampang membabitkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Moyog dan Kapayan di Dewan Kampung Pagansakan Inobong, di sini.
Mandela yang juga ADUN Dilantik, turut mengucapkan tahniah kepada kepimpinan Penampang, khususnya DUN Moyog, kerana mengamalkan sistem demokrasi dalam pemilihan pengerusi JKKK dengan memberi peluang kepada penduduk kampung memilih pemimpin mereka.
“Ini menunjukkan bahawa di Penampang kita mengamalkan sistem pemilihan secara sihat dan demokratik,” katanya.
Beliau berharap pengerusi JKKK yang dilantik dapat berperanan sebagai mata dan telinga kerajaan dalam menyalurkan maklumat, selain membantu menyelesaikan isu tempatan secara berhemah dan bertanggungjawab.
“Selamat berkhidmat dan semoga semua yang menerima watikah hari ini dapat melaksanakan amanah dengan penuh integriti, dedikasi dan berkesan demi kesejahteraan masyarakat di kawasan masing-masing,” katanya.

Mandela (tengah) menyaksikan Majlis Penyampaian Watikah Pengerusi JKKK Parlimen Penampang membabitkan DUN Moyog dan Kapayan di Dewan Kampung Pagansakan Inobong, Penampang.









参加了在北路斯里帝里姆甘印度廟宇举办的大宝森节庆典。(18D)-218x150.jpg)