Mustapha Sakmud seru rakyat waspada politik sentimen raih sokongan

Oleh JOHN TAMBANAN


KOTA KINABALU: Rakyat perlu berwaspada terhadap manipulasi politik berasaskan sentimen yang digunakan pihak tertentu semata-mata untuk meraih sokongan, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak), Datuk Mustapha Sakmud.
Beliau berkata fenomena politik sentimen yang mengutamakan emosi, kaum atau retorik berbanding prestasi dan pencapaian kini dilihat semakin mendominasi arena politik negara.
Katanya, analisis dan dapatan awal keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan Negeri Sembilan menunjukkan sentimen politik dilihat mengatasi pertimbangan terhadap prestasi kerja, yang menurutnya perlu diberi perhatian.
“Senario politik ini sedikit sebanyak akan memberi kesan kepada politik Sabah.
“Kalau kita lihat prestasi ekonomi negara dan juga kerajaan negeri, ia seolah-olah tidak diambil kira dalam pertimbangan. Nampaknya sentimen itu lebih mengatasi.
“Jadi, kita kena fikir sama ada keadaan ini baik untuk negara atau sebaliknya. Namun, saya fikir kita masih mempunyai masa untuk memperbaiki kelemahan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Penyampaian Anugerah Pelajar Cemerlang Madani STPM 2025 di Kolej Tingkatan Enam Kota Kinabalu, di sini.
Mustapha berkata antara pencapaian utama Kerajaan MADANI di Sabah termasuk peningkatan peruntukan pembangunan kepada RM17.5 bilion bagi 2026, penyelesaian sembilan perkara tuntutan di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) serta peningkatan bayaran Pemberian Khas Interim Sabah kepada RM1.5 bilion.
Selain itu, katanya, Kerajaan Persekutuan turut memberi pengiktirafan kepada Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Sabah untuk meluluskan projek bernilai sehingga RM50 juta.
Sementara itu, mengulas cadangan Kerajaan Negeri Sabah menyediakan pendidikan percuma di institusi pengajian tinggi milik Yayasan Sabah, iaitu University College Yayasan Sabah (UCSF) dan Kolej Teknologi Yayasan Sabah (KTYS), Mustapha berkata cadangan itu wajar dipertimbangkan sekiranya kedudukan kewangan negeri mengizinkan.
Katanya, langkah itu mampu memberi manfaat kepada rakyat, khususnya golongan muda dalam mendapatkan akses pendidikan tinggi.

Mustapha menyempurnakan Majlis Penyampaian Anugerah Pelajar Cemerlang Madani STPM 2025 di Kolej Tingkatan Enam Kota Kinabalu.