Oleh FARDY BUNGGA
KOTA KINABALU: Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) berjaya membongkar cubaan membawa masuk makanan sejuk beku secara tidak sah menerusi pengikraran yang tidak selaras.
Dalam operasi Op Ribat Sepanggar siri 1/2026 itu, sebanyak 12 kontena berisi produk ayam dan babi bernilai RM3.42 juta berjaya dirampas di Pelabuhan Sepanggar.
Ketua Pengarah AKPS, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, kejayaan itu adalah hasil operasi yang dilaksanakan sejak 19 Mei lalu menerusi kerjasama strategik AKPS bersama beberapa agensi lain.
Katanya, antara yang terlibat adalah Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS), Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sabah (DVS) dan Pihak Berkuasa Pelabuhan.
“Lanjutan daripada operasi yang kita buat pada Julai tempoh hari, kita berjaya menahan 14 kontena yang membawa jumlah rampasan hampir RM3 juta.
“Kita mengambil keputusan pada 16 Julai yang lalu untuk memeriksa 12 lagi kontena. Jadi dalam kontena ini, ternyata apa yang kita dapat lihat dan kita periksa adalah hasil barangan daging beku daripada China dan Hong Kong.
“11 kontena mengandungi daging beku iaitu daging ayam dan satu lagi mengandungi daging khinzir. Anggaran rampasan dalam 12 kontena ini ialah seberat 348 tan yang membawa jumlah dagangan sebanyak RM3.4 juta,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media yang diadakan di Pelabuhan Sepanggar, di sini.
Mohd Shuhaily berkata, susulan penemuan itu, AKPS telah menyita keseluruhan dagangan berkenaan bagi membolehkan siasatan mengikut Seksyen 133(1)(a) Akta Kastam 1967 [Akta 235].
Katanya, ia berikutan kegagalan membuat akuan penuh dan benar serta mengemukakan perakuan atau dokumen yang tidak benar dalam perkara material.
“Jika disabitkan kesalahan, pesalah boleh dikenakan denda sehingga RM500,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi lima tahun, atau kedua-duanya sekali,” katanya.
Sementara itu, Mohd Shuhaily berkata, sejak April lalu, AKPS telah berjaya menahan hampir 40 kontena yang membawa jumlah rampasan hampir RM6.7 juta.
“Dan saya juga ingin mengambil peluang ini untuk mengaitkan usaha yang sama dilakukan di Sarawak dalam minggu lepas di mana Komander Bintulu berjaya menahan 9 kontena.”
“Perkara yang sama, wrong declaration (salah isytihar) di bawah seksyen yang sama, akta yang sama, dan membawa jumlah rampasan hampir RM3.14 juta.
“Usaha ini akan kita teruskan di seluruh negara dan saya amat rasa teruja apabila usaha yang sama disambut oleh pihak Veterinar Sabah yang mana telah menjalankan operasi yang hampir sama di Tawau dan di Sandakan dalam dua tiga bulan yang lalu,”tegasnya.
Sehubungan itu, Mohd Shuhaily menegaskan AKPS memandang serius sebarang cubaan membawa masuk dagangan secara tidak sah melalui pengikraran palsu atau apa-apa bentuk pelanggaran kawal selia di pintu masuk negara.
Katanya, AKPS akan terus memperkukuh kawalan dan pemeriksaan di semua pintu masuk negara menerusi pendekatan penguatkuasaan bersepadu bersama agensi-agensi berkaitan.

RAMPASAN …. Mohd Shuhaily menunjukkan produk sejuk beku ayam yang berjaya dirampas dalam operasi berkenaan.




