Segera laksana projek ‘low-hanging fruit’

Demi manfaat rakyat Sabah – Hajiji

KOTA KINABALU: Keperluan asas rakyat yang boleh diselesaikan dengan segera perlu diberi keutamaan bagi memastikan setiap projek pembangunan siap mengikut jadual, kata Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor.
Beliau berkata keperluan asas seperti bekalan air dan elektrik, jalan raya serta sistem tebatan banjir dan saliran boleh ditangani menerusi pelaksanaan projek berimpak tinggi dan kos rendah atau ‘low-hanging fruit’.
“Walaupun projek mega penting untuk pertumbuhan jangka panjang, projek ‘low-hanging fruit’ mampu memberikan impak segera yang dapat dirasai rakyat dan kerajaan dalam tempoh lebih singkat.
“Saya ingin menegaskan semula kepentingan melaksanakan projek ‘low-hanging fruit’ sebagai pemangkin strategik pembangunan Sabah,” katanya dalam kenyataan selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tindakan Pembangunan Negeri (MTPNg) di sini, hari ini.
Hajiji berkata semua isu, khususnya yang dibangkitkan pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) baru-baru ini, perlu diselesaikan segera melalui pelaksanaan projek berimpak tinggi dan kos rendah itu.
“Rakyat mempunyai harapan tinggi untuk menikmati manfaat pembangunan tanpa sebarang kelewatan,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menyeru semua kementerian, jabatan dan agensi pelaksana supaya memperkukuh komitmen, meningkatkan kerjasama serta memperkemas penyelarasan strategik bagi memastikan setiap projek pembangunan dilaksanakan secara cekap, sistematik dan mengikut jadual ditetapkan.
Ketua Menteri turut meminta mesyuarat MTPNg dimanfaatkan sepenuhnya sebagai platform perbincangan yang konstruktif, berorientasikan penyelesaian dan tindakan supaya setiap isu pelaksanaan dapat ditangani secara proaktif.
Sementara itu, Hajiji berkata Kerajaan Negeri kekal komited memperkukuh kerjasama strategik dengan Kerajaan Persekutuan bagi memastikan setiap agenda pembangunan nasional dilaksanakan dengan lebih cekap dan berkesan.
Katanya, kerjasama itu penting bagi memastikan setiap dasar, program dan projek pembangunan diterjemahkan kepada manfaat nyata untuk kesejahteraan rakyat serta kemakmuran Sabah.
Beliau berkata selaras aspirasi Malaysia MADANI dan hala tuju pembangunan Sabah Maju Jaya (SMJ) 2.0, pelaksanaan projek pembangunan perlu terus diperkukuh melalui penyelarasan sistematik dan bersepadu antara kementerian, jabatan serta agensi pelaksana.
“Saya yakin dengan komitmen dan sinergi yang kukuh, kita mampu memastikan setiap projek pembangunan disiapkan sekali gus mempercepat kemajuan Sabah,” katanya.

Hajiji mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tindakan Pembangunan Negeri (MTPNg) kali kedua tahun ini di Menara Kinabalu, kelmarin.