Oleh JOHN TAMBANAN
PENAMPANG: Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) mahu Perjanjian Petronas 1976 yang menetapkan pembayaran royalti minyak kepada Sabah disemak semula sekiranya benar ia tidak pernah dibincangkan atau mendapat persetujuan Kerajaan Sabah.
Presiden UPKO Datuk Ewon Benedick berkata pendirian itu susulan pendedahan bekas Ketua Menteri Sabah Tan Sri Pairin Kitingan bahawa perjanjian berkenaan yang memberikan Sabah lima peratus royalti minyak tidak pernah dibentangkan atau dibincangkan dalam mesyuarat Kabinet Sabah.
“Kalau betullah ia tidak pernah dibincangkan dalam mesyuarat Kabinet ataupun tidak pernah mendapat persetujuan daripada Kerajaan Sabah, UPKO mendesak supaya Perjanjian Petronas disemak semula,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyampaikan ucapan dasar pada Persidangan Perwakilan Tritahunan UPKO Ke-17 di Dewan Hongkod Koisaan, KDCA, di sini.
Ewon berkata UPKO tidak bersetuju dengan pandangan bahawa minyak dan gas merupakan bidang kuasa Persekutuan semata-mata hanya kerana Akta Kemajuan Petroleum 1974 diluluskan di Parlimen.
Katanya, sebarang perkara yang memberi kesan besar kepada Sabah seharusnya mendapat persetujuan Kerajaan Negeri.
“Pendirian kita, mana-mana perkara yang memberi kesan besar kepada Sabah harus mendapat persetujuan daripada Kerajaan Sabah,” katanya.
Mengenai tuntutan 40 peratus hasil Sabah, Ewon berkata UPKO mahu pembayaran penuh dilaksanakan dan berpandangan bayaran interim yang diterima ketika ini hanya bersifat sementara.
“Interim itu, pembayaran interim hanyalah langkah sementara sahaja. Itu tidak harus sampai bila-bila. Interim maksudnya sementara,” katanya.
Beliau berkata alasan berkaitan konflik atau peperangan di negara lain tidak seharusnya dijadikan sebab untuk melambatkan pelaksanaan pembayaran penuh berkenaan kerana rakyat dan syarikat di Sabah terus membayar cukai, manakala hasil negeri tetap dikutip.
Sehubungan itu, Ewon mencadangkan pendekatan yang pernah dilaksanakan pada awal 1960-an ketika Singapura masih menjadi sebahagian daripada Persekutuan Malaysia, iaitu 40 peratus daripada pungutan hasil Persekutuan dikekalkan di Sabah untuk disalurkan terus kepada Kerajaan Negeri, manakala 60 peratus dimasukkan ke akaun hasil Kerajaan Persekutuan.
“Ini boleh dibincangkan dari segi mekanismenya. Kalau dulu Singapura boleh buat begitu ketika masih berada dalam Persekutuan Malaysia, saya tidak melihat ia sukar dilaksanakan,” katanya.
Ewon berkata pendirian itu akan dibahaskan perwakilan UPKO dan sekiranya dipersetujui, beliau akan membawa mandat berkenaan kepada Ketua Menteri Sabah selaku Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS), pimpinan tertinggi GRS serta Kerajaan Negeri Sabah.

BERSEMANGAT …. Ewon melaungkan slogan ‘Sabah First’ ketika mengakhiri ucapan dasar pada Persidangan Perwakilan Tritahunan UPKO Ke-17 di Dewan Hongkod Koisaan, KDCA, Penampang.





