Sabah, Sarawak boleh jadi ‘kingmaker’ tentukan Kerajaan Persekutuan – Ewon

Oleh JOHN TAMBANAN


PENAMPANG: Sabah dan Sarawak mempunyai peranan penting dalam menentukan pembentukan Kerajaan Persekutuan, termasuk siapa yang bakal menjadi Perdana Menteri, kata Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) Datuk Ewon Benedick.
Beliau berkata kedudukan kedua-dua wilayah itu perlu dilihat dalam konteks lebih besar kerana kewujudan Persekutuan Malaysia tidak dapat dipisahkan daripada Sabah dan Sarawak.
“Saya melihatnya dalam konteks yang lebih besar. Persekutuan atau negara Malaysia ini tidak akan wujud tanpa Sabah dan Sarawak.
“Sebab itu Sabah dan Sarawak harus menjadi sebahagian daripada Kerajaan Persekutuan dan tadbir urus negara ini serta boleh menjadi ‘kingmaker’ sama ada mahu meneruskan Persekutuan ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas menyampaikan ucapan dasar pada Persidangan Perwakilan Tritahunan UPKO Ke-17 di Dewan Hongkod Koisaan, KDCA, di sini.
Ewon berkata peranan Sabah dan Sarawak tidak seharusnya dipandang ringan, khususnya dalam menentukan pembentukan kerajaan di peringkat Persekutuan.
“Kekuatan sebenar Sabah dan Sarawak adalah dalam menentukan sama ada Persekutuan Malaysia ini perlu diteruskan atau tidak. Justeru, jangan perkecilkan peranan Sabah dan Sarawak dalam memastikan siapa Perdana Menteri dan siapa Kerajaan Persekutuan,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, Ewon berkata UPKO turut membuat persiapan awal menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang dengan memperkukuh struktur parti serta menggalakkan anggota yang berhasrat bertanding supaya memperhebatkan kerja di lapangan.
Mengenai pembahagian kerusi, beliau berkata UPKO akan berunding dengan parti-parti dalam Gabungan Rakyat Sabah (GRS) apabila tiba masanya.
“UPKO akan menyampaikan pandangan dan pendirian bahawa sekurang-kurangnya dua kerusi Parlimen sedia ada, iaitu Tuaran dan Penampang, harus diberikan ruang untuk parti ini bertanding.
“Manakala perkara selebihnya, saya memilih untuk merundingkannya melalui proses dalaman dalam GRS,” katanya.
Ewon berkata setakat ini belum ada rundingan rasmi mengenai pembahagian kerusi dan perkara itu akan dibincangkan pada masa sesuai bersama Ketua Menteri Sabah serta rakan-rakan dalam GRS.

Ewon (tengah) ditemani Nelason (kiri) dan Madius (kanan) ketika ditemui media selepas menyampaikan ucapan dasar pada Persidangan Perwakilan Tritahunan UPKO Ke-17 di Dewan Hongkod Koisaan, KDCA, Penampang.