Oleh JOHN TAMBANAN
PENAMPANG: Kerajaan Sabah akan terus menuntut pelaksanaan penuh hak pemberian 40 peratus hasil bersih Persekutuan yang diperoleh dari Sabah seperti termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), menerusi rundingan kerajaan dengan kerajaan (G to G).
Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Noor berkata hak berkenaan merupakan antara hak terbesar Sabah di bawah MA63 dan termaktub dalam Perkara 112C dan 112D Perlembagaan Persekutuan.
“Saya ingin menegaskan bahawa Kerajaan Negeri di bawah kepimpinan saya akan terus menuntut pelaksanaan penuh pembayaran 40 peratus melalui proses rundingan G to G dengan Kerajaan Persekutuan kerana hak 40 peratus merupakan hak terbesar kita dalam MA63.
“Hak ini mesti ditunaikan oleh Kerajaan Persekutuan,” katanya ketika berucap pada sambutan Ulang Tahun UPKO ke-32 dan Persidangan Perwakilan Tritahunan UPKO ke-17 di Dewan Hongkod Koisaan, KDCA, di sini, malam tadi.
Hajiji berkata pendirian itu akan terus dibawa ke peringkat Persekutuan, termasuk dalam mesyuarat Jawatankuasa Teknikal MA63 yang berlangsung di Putrajaya pada 3 Ogos lepas.
Beliau berkata sebanyak 13 tuntutan berkaitan MA63 telah dilaksanakan setakat ini, antaranya kawal selia tenaga, pelesenan dan penangkapan laut dalam, pengiktirafan Jabatan Kerja Raya (JKR) serta Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), pentadbiran badan kehakiman di Sabah, Pulau Sipadan dan Pulau Ligitan, tenaga buruh serta alam sekitar.
Mengenai tuntutan 40 peratus, Hajiji berkata walaupun ia belum dilaksanakan sepenuhnya dan masih terdapat rayuan Kerajaan Persekutuan di Mahkamah Rayuan, Sabah menerima bayaran interim yang kini meningkat kepada RM1.5 bilion bermula tahun ini berbanding RM26 juta sebelum ini.
Katanya, bayaran interim itu akan digunakan untuk membiayai pembangunan infrastruktur dan kebajikan rakyat, termasuk pembinaan jalan raya berturap dan jambatan konkrit, penambahbaikan bekalan air serta elektrik, Rumah SMJ dan Program Sentuhan Kasih Rakyat (SYUKUR).
Dalam perkembangan berkaitan, Hajiji berkata kutipan hasil negeri berjaya dikekalkan sekitar RM7 bilion setahun sejak 2022 dan dijangka meningkat kepada RM8 bilion tahun ini.
Katanya, Sabah turut merekodkan pelaburan sektor pembuatan bernilai RM7.6 bilion pada 2025, hampir 208 peratus berbanding 2024.
Beliau berkata kerjasama dengan PETRONAS melalui Commercial Collaborative Agreement (CCA) turut membolehkan Sabah meningkatkan penyertaan dalam industri minyak dan gas, termasuk usaha memuktamadkan 40 peratus ekuiti dalam projek fasiliti Gas Asli Cecair Terapung (FLNG) serta 30 peratus pegangan dalam dua lapangan minyak dan gas baharu di pantai timur.

Hajiji yang juga Pengerusi GRS bersama pemimpin UPKO dan GRS pada Majlis Ulang Tahun UPKO ke-32 dan perasmian Persidangan Perwakilan Tritahunan UPKO ke-17 di Dewan Hongkod Koisaan, KDCA.





