Antologi cerpen pelajar SMK Badin dilancarkan

TUARAN: Pelajar Tingkatan Enam Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Badin digesa terus berusaha mencapai kecemerlangan dalam akademik, kokurikulum, sahsiah dan bidang pengkaryaan.
Pegawai Pendidikan Daerah Tuaran, Awang Seman Ag Tahir, berkata adab dalam menuntut ilmu perlu sentiasa diutamakan, termasuk ketika menghasilkan karya dengan mencari dan mengetengahkan idea yang baik serta bermutu.
Beliau berkata demikian selepas melancarkan antologi cerpen ‘Di Balik Deruan Angin’ karya pelajar Tingkatan Enam SMK Badin di Bilik Nyala Inspirasi, SMK Badin, di sini.
Awang Seman turut mengucapkan tahniah kepada pelajar dan guru yang terlibat serta berharap usaha berkenaan dapat menyemarakkan minat generasi muda terhadap bidang penulisan.
Antologi itu merupakan hasil usaha pelajar di bawah bimbingan guru akademik Bahasa Melayu Tingkatan Enam, Cikgu Fauziah Haji Moksin.
Projek penulisan berkenaan bermula 4 Oktober 2025 menerusi kelas dan bengkel penulisan yang dijalankan pada sebelah petang serta secara dalam talian.
Buku tersebut diterbitkan oleh Ikatan Penulis Sabah (IPS) dan menjadi penerbitan ketiga pelajar Tingkatan Enam SMK Badin selepas antologi puisi Pena Yang Melukis Impian pada 2023 dan kumpulan puisi Merungkai Kamus Kejayaan karya Jaidin Zaineh pada 2024.
Pengetua SMK Badin, Voo Hon Min @ Mohd Amin, merakamkan penghargaan kepada IPS atas usaha menerbitkan karya berkenaan serta berharap pengkarya muda terus memanfaatkan peluang untuk mengembangkan bakat.
Sementara itu, Fauziah yang juga Ketua Dua IPS berkata sokongan PPD Tuaran, pihak sekolah, PIBG dan guru amat penting dalam menjayakan projek penulisan berkenaan.
Beliau berkata IPS turut memainkan peranan menyediakan bengkel, kelas penulisan dan ruang diskusi bagi membantu pelajar mengasah kemahiran menulis secara sistematik.
Usaha itu, katanya, bukan sahaja memberi peluang kepada pelajar mendokumentasikan karya mereka, malah membantu membentuk sahsiah, disiplin dan daya fikir kritis.
Majlis turut dihadiri Yang Dipertua PIBG SMK Badin, Sany Abdillah Hj Achmad; Pengerusi Majlis Penasihat IPS, Haji Sukor Usin, yang juga Sasterawan Negeri Sabah ketiga; serta Ketua Satu IPS, Ustaz Awang Abdul Muizz Awang Marusin, selain barisan pentadbir, guru dan pelajar sekolah.

PENULIS….Gambar penulis dan cikgu Fauziah bersama Pengetua SMK Badin, Voo Hon Min @Mohd Amin.

TAMU KEHORMAT…PPD Tuaran, Awang Seman Ag Tahirm YDP SMK Badiin, Sany Abdillah, Ketua 1 IPS, Ustaz Awang Abdul Muizz, Sasterawan Negeri, Hasyuda Abadi bersama barisan penolong kanan dan ahli persatuan BM dan Sastera Semester 3.

PENGKARYA…Cikgu Fauziah bersama pengkarya muda dan AJK Persatuan Bahasa Mekayu dan Sastera.