Oleh JOHN TAMBANAN
KOTA KINABALU: Kumpulan Desa mahu memperkukuh kerjasama strategik dengan Kementerian Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah bagi memperluas pembangunan sektor pertanian, penternakan dan industri agro-makanan negeri.
Pengerusinya, Tan Sri Liew Yun Fah berkata, Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah, Datuk Jamawi Jaafar, telah menyatakan kesediaan untuk bekerjasama dengan DESA dalam bidang pertanian, penternakan serta sektor berkaitan.
Beliau berkata kesediaan itu merupakan perkembangan positif yang membuka ruang kepada perancangan dan pelaksanaan lebih banyak inisiatif bagi memperkukuh sektor berkenaan.
“Desa berharap kerjasama lebih erat dapat dijalinkan bersama kementerian, khususnya dalam bidang pertanian, penternakan dan sektor berkaitan,” katanya dalam kenyataan selepas kunjungan hormat kepada Jamawi, di sini, Selasa.
Liew berkata sebagai syarikat berkaitan kerajaan negeri (GLC), Desa bersedia memainkan peranan lebih aktif dalam menyokong usaha kerajaan Sabah membangunkan sektor pertanian dan penternakan sebagai antara komponen penting ekonomi negeri.
Katanya, kerjasama strategik itu juga boleh dimanfaatkan untuk mengenal pasti bidang berpotensi, khususnya yang mampu memperkukuh rantaian pengeluaran serta industri agro-makanan Sabah.
“Usaha ini bukan sahaja penting dalam pembangunan sektor pertanian, malah dapat memperkukuh ekosistem pengeluaran makanan negeri dan membuka lebih banyak ruang kepada aktiviti ekonomi berkaitan,” katanya.
Beliau berkata kerjasama lebih tersusun antara kerajaan dan GLC mampu mewujudkan sinergi dalam membangunkan sektor berkenaan, sekali gus memastikan potensi pertanian dan penternakan Sabah dimanfaatkan secara menyeluruh.
Liew berkata Desa akan terus meneroka peluang kerjasama baharu yang mampu memberi nilai tambah kepada industri pertanian, penternakan dan agro-makanan negeri.

BERBUAL …. Liew Yun Fah bersama Jamawi Jaafar pada majlis kunjungan hormat, Selasa.





