KOTA KINABALU: Masyarakat Cina kekal sebagai kuasa penting dan berpengaruh dalam landskap politik Sabah, kata Naib Presiden Parti Demokratik Liberal (LDP), David Ong.
Beliau berkata Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17 membuktikan pengaruh masyarakat Cina masih signifikan meskipun semua kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang majoriti pengundinya terdiri daripada kaum itu dimenangi parti pembangkang.
“Keputusan itu tidak seharusnya ditafsirkan sebagai tanda masyarakat Cina tidak lagi relevan dalam politik Sabah.
“Sebaliknya, masyarakat Cina terus mempengaruhi keputusan pilihan raya, pembentukan kerajaan dan hala tuju masa depan Sabah. Tiada parti atau gabungan politik mampu mengabaikan suara masyarakat Cina,” katanya dalam kenyataan.
David berkata masyarakat Cina perlu terus bersatu dan terlibat aktif dalam mencorakkan masa depan Sabah dengan menyokong kerajaan yang stabil, inklusif dan diterajui pemimpin tempatan.
Beliau menyifatkan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) sebagai platform politik yang sesuai untuk menyatukan kepelbagaian kaum di negeri itu, selain mengekalkan hubungan konstruktif dengan Kerajaan Persekutuan serta mempertahankan hak dan kepentingan Sabah.
“Kerajaan GRS yang mendapat sokongan masyarakat Cina akan lebih mencerminkan kepelbagaian rakyat, lebih stabil dan berada pada kedudukan lebih baik untuk mentadbir secara berkesan demi manfaat seluruh rakyat Sabah,” katanya.
David berkata LDP akan terus menjadi penghubung antara masyarakat Cina dengan kerajaan GRS bagi memastikan kebimbangan dan aspirasi masyarakat itu didengari, selain memperkukuh keharmonian kaum serta pembangunan inklusif.
Beliau menegaskan masa depan Sabah perlu dibina berasaskan kesederhanaan, perpaduan dan sikap saling menghormati, bukannya politik berteraskan kaum atau agama.-John Tambanan.

David Ong



