33 tong bahan api bersubsidi dirampas PPM

KOTA MARUDU: Sebanyak 33 tong dram mengandungi petrol dan diesel bersubsidi dirampas Pasukan Polis Marin (PPM) dalam serbuan di sebuah premis di Kampung Tangkol, Jalan Marak Parak, di sini, petang Rabu.
Serbuan kira-kira jam 4 petang itu dilakukan susulan maklumat dan risikan hasil tangkapan berkaitan penyalahgunaan bahan api bersubsidi di Pitas sebelum ini.
Komander PPM Wilayah 4 Sabah, Asisten Komisioner Ahmad Amri Abd Rahman berkata, pemeriksaan di bahagian belakang premis menemukan 33 tong dram berkapasiti 200 liter setiap satu.
Katanya, 10 tong disyaki mengandungi petrol, manakala 23 tong lagi dipercayai berisi diesel.
“Seorang lelaki berusia 42 tahun yang dipercayai pemilik premis turut ditahan selepas gagal mengemukakan sebarang dokumen, lesen, permit atau kebenaran sah berkaitan penyimpanan bahan api berkenaan.
“Kesemua barang kes turut dirampas dengan anggaran nilai keseluruhan melebihi RM33,000,” katanya dalam kenyataan.
Ahmad Amri berkata, pemeriksaan dan tindakan itu dilakukan susulan risikan berhubung kegiatan penyalahgunaan barang kawalan.
Katanya, kes disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961.
“PPM Wilayah 4 Sabah tidak akan berkompromi dengan mana-mana individu atau sindiket yang terbabit dalam penyelewengan serta penyalahgunaan subsidi kerajaan.
“Risikan dan operasi susulan akan terus dipertingkatkan bagi mengesan rantaian kegiatan penyelewengan barang kawalan.
“Ia bagi memastikan subsidi kerajaan tidak disalahgunakan untuk kepentingan pihak tertentu,” katanya.

RAMPAS: Bekalan petrol dan diesel bersubsidi dirampas dalam serbuan di sebuah premis di Kampung Tangkol, Jalan Marak Parak, Kota Marudu.