KOTA KINABALU : Bangladesh berhasrat meneroka pelbagai kerjasama strategik dengan Sabah dalam pelbagai sektor antarnya pertanian, perikanan dan ekonomi biru.
Pesuruhjaya Tinggi Bangladesh ke Malaysia, Manjurul Karim Khan Chowdhury berkata, kerjasama berkenaan berpotensi memberikan manfaat kepada kedua-dua pihak.
Menurut beliau, antara kerjasama yang boleh diterokai seperti pelaksanaan projek perintis pengeluaran padi dengan memanfaatkan teknologi pertanian moden dari Bangladesh selain potensi kerjasama dalam sektor perikanan dan ekonomi biru.
Manjurul berkata demikian ketika ditemui media selepas mengadakan kunjungan hormat kepada Yang di-Pertua Negeri, Tun Musa Aman di Istana Seri Kinabalu di sini, pada Khamis.
Beliau menyatakan kunjungan berkenaan bertujuan memperkukuhkan lagi hubungan antara kedua-dua negara susulan lawatan Perdana Menteri Bangladesh ke Malaysia pada Jun lepas.
Manjurul menambah, hubungan baik antara Bangladesh dan Malaysia turut merangkumi kerjasama dengan negeri-negeri di Malaysia, termasuk Sabah./Penerangan

CENDERAHATI …. Tun Musa (dua dari kanan) menerima cenderahati dari Manjurul (dua dari kiri).







