LAHAD DATU: Sebuah kilang pemprosesan pembetung konkrit di Segama, di sini, terbakar petang Rabu, mengakibatkan kerosakan besar pada jentera berat serta sebuah struktur dalam kawasan premis berkenaan.
Dalam kejadian itu, dua pekerja lelaki mengalami kecederaan akibat melecur.
Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) menerima panggilan kecemasan pada jam 3.49 petang, 12 Ogos, berhubung kebakaran di kilang yang terletak di Kilometer 5, Jalan Kampung Kokos.
Seramai enam anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lahad Datu dikejarkan ke lokasi dan tiba pada jam 3.58 petang selepas menempuh jarak kira-kira 24 kilometer.
Menurut Komander Operasi, PBK I Mohd Akbar Mohambar, kebakaran membabitkan sebuah lori seberat 30 tan yang musnah kira-kira 70 peratus, manakala sebuah forklift terbakar sepenuhnya.
Katanya, kebakaran turut menyebabkan sedikit kerosakan pada sebuah struktur kayu dalam kawasan kilang.
“Anggota bomba segera menjalankan operasi pemadaman menggunakan dua aliran hos yang mendapatkan bekalan air daripada jentera bomba.
“Dua pekerja lelaki disahkan terbabit dalam kejadian. Seorang lelaki berusia 20 tahun mengalami kira-kira 50 peratus kelecuran, manakala seorang lagi lelaki berusia 40 tahun turut mengalami kecederaan akibat melecur,” katanya.
Mohd Akbar berkata, kedua-dua mangsa telah dihantar ke hospital oleh rakan sekerja sebelum ketibaan anggota bomba di lokasi.
Kebakaran berjaya dikawal pada jam 4.09 petang, manakala operasi ditamatkan pada jam 4.50 petang selepas anggota bomba memastikan keadaan di lokasi selamat dan tiada bahaya lanjut.-James Leong.

PADAM …. Anggota bomba Lahad Datu memadam kebakaran di sebuah kilang pemprosesan pembetung konkrit di Jalan Kokos, Rabu.






