Semarak jiwa patriotik sempena Hari Kebangsaan, Hari Malaysia dan Hari Sabah – Shahelmey

Oleh JOHN TAMBANAN


PUTATAN: Kempen mengibarkan Jalur Gemilang dan bendera negeri Sabah perlu dipergiat bagi menyemarakkan semangat patriotisme, kecintaan kepada negara serta memperkukuh perpaduan dalam kalangan rakyat.
Ahli Parlimen Putatan, Datuk Ir Shahelmey Yahya berkata, sambutan Hari Kebangsaan, Hari Malaysia dan Hari Sabah yang diraikan pada Ogos setiap tahun wajar dimanfaatkan untuk menyemai semangat cintakan negara dan negeri, terutama dari peringkat akar umbi.
Beliau berkata, usaha itu penting bagi meningkatkan kesedaran dan rasa tanggungjawab rakyat dalam menghayati nilai kemerdekaan yang dikecapi negara dan Sabah.
“Sudah tentu, kempen mengibarkan bendera penting dalam usaha meningkatkan nilai patriotisme dalam kalangan masyarakat.
“Dengan perpaduan yang kukuh, semangat cintakan negara dapat membangkitkan kesedaran semua pihak untuk bersama-sama memajukan negara dan negeri,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Program Jiwa@Komuniti MADANI Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia (HKHM) Peringkat Komuniti Madani Daerah Putatan di Dewan Sri Putatan, di sini.
Turut hadir Pengerusi Lembaga Pembangunan Perumahan dan Bandar (LPPB) Sabah merangkap Adun Petagas, Datuk Awang Ahmad Shah Awang Sahari; Pengerusi Perkasa Trading Sdn Bhd merangkap Adun Tanjung Keramat, Shah Alfie Yahya dan Pengarah Jabatan Penerangan Sabah, Jainisah Mohd Noor.
Pada program itu, Shahelmey turut menyertai Konvoi Kembara Merdeka Jalur Gemilang (KMJG) membabitkan 25 kenderaan dengan penyertaan 63 anggota daripada pelbagai agensi.
Konvoi bermula di Dewan Sri Putatan dan melalui Balai Polis Putatan, Kampung Sri Pandan, Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Contoh, Balai Raya Kampung Muhibbah, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Petagas, Balai Bomba Putatan, SMK Tansau dan Balai Raya Kampung Meruntum.

PATRIOTIK …. Shahelmey (tengah) bersama komuniti Putatan menjayakan Program Jiwa@Komuniti Madani Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia (HKHM) Peringkat Komuniti MADANI Daerah Putatan di Dewan Sri Putatan.