Dr Rockey beri laluan, Christoper terus terajui Pemuda PBS

Oleh JOHN TAMBANAN


KOTA KINABALU: Timbalan Ketua Exco Pemuda Parti Bersatu Sabah (PBS) Pusat (Kuota Biru), Dr Rockey Jerome Budin, menarik diri daripada pertandingan jawatan Ketua Pemuda PBS Pusat bagi memberi laluan kepada penyandang, Datuk Dr Christoper Mandut.
Dr Rockey berkata keputusan itu dibuat selepas pertimbangan mendalam dengan mengambil kira kepentingan, perpaduan dan masa depan PBS, terutama ketika parti melalui fasa peralihan kepimpinan.
Menurutnya, seluruh anggota perlu memberi sokongan kepada Presiden dan barisan kepimpinan baharu untuk menstabilkan parti, merapatkan saf serta memperkukuh organisasi tanpa dibebani persaingan dalaman.
“Peralihan fasa kepimpinan memerlukan sokongan padu yang tidak berbelah bahagi. Saya percaya kita harus memberi peluang penuh kepada pucuk pimpinan baharu untuk mengukuhkan asas parti dan menstabilkan pentadbiran,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata keputusan itu turut didorong keperluan PBS memberi tumpuan sepenuhnya kepada persiapan menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.
“Fokus kita hari ini mesti dialihkan sepenuhnya kepada persiapan jentera parti tanpa tenaga kita dipecahkan oleh persaingan dalaman yang berpanjangan,” katanya.
Dr Rockey menegaskan jawatan bukan keutamaan, sebaliknya kelangsungan, perpaduan dan kemenangan PBS perlu didahulukan.
Selain beliau, beberapa calon lain turut menarik diri bagi membolehkan calon tertentu menang tanpa bertanding.
Pegawai Penerangan Pemuda PBS, Steve Johnny Mositun, memberi laluan kepada Stanley Leo bagi jawatan Timbalan Ketua Exco Pemuda Pusat (Kuota Biru), manakala Setiausaha Pemuda PBS Bahagian Kepayan, Adlu Shah, menarik diri bagi memberi laluan kepada Mohd Khairol Majde bagi jawatan Timbalan Ketua Exco Pemuda Pusat (Kuota Kuning).
Bagi jawatan Naib Ketua (Kuota Biru), Exco Pemuda Rainy Valentine turut memberi laluan kepada Kevin Jon Johnny.
Sementara itu, Christoper menghargai keputusan Dr Rockey yang disifatkannya sebagai bukti semangat kesatuan dan sikap mendahulukan kepentingan parti.
Beliau menyeru seluruh barisan Pemuda PBS kembali bersatu selepas proses pemilihan dan mengetepikan sebarang perbezaan.
“Tiada lagi Team Dr Christoper atau Team Dr Rockey, tetapi kita adalah Team Presiden PBS yang akan memimpin parti kita seterusnya,” katanya.
Christoper berkata kesatuan penting bagi memastikan Pemuda PBS kekal kukuh dan bersedia memperkasakan parti serta menghadapi cabaran politik akan datang.

Dr Rockey (tengah kiri) bersalaman dengan Christoper (tengah kanan) selepas keputusan memberi laluan kepada Christoper menerajui Pemuda PBS.