Oleh JOHN TAMBANAN
KENINGAU: Lebih 100 peserta menyertai Kejohanan Pickleball PIBG Ken Hwa 2026 yang berlangsung selama tiga hari dari 22 hingga 24 Ogos lalu di Dewan Ken Hwa, di sini.
Kejohanan berkenaan merupakan pengisian utama Bengkel Pemantapan Gaya Hidup Sihat anjuran Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SMJK Ken Hwa yang menyasarkan penyertaan pelajar, ibu bapa, guru serta Anggota Kumpulan Pelaksana (AKP) Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Pedalaman Atas.
Penganjuran itu bertujuan menyemarakkan aktiviti sukan pickleball, selain memperkukuh hubungan dan jaringan kerjasama antara warga sekolah, PIBG, ibu bapa serta komuniti setempat.
Kejohanan berkenaan dirasmikan Datin Tengku Aini Tengku Ibrahim, isteri kepada Pembantu Menteri Kewangan merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bingkor, Dato’ Sr. Mohd Ishak Ayub, selaku tetamu kehormat.
Turut hadir sebagai tetamu khas ialah Datin Tengku Adlina Marita Tengku Adlin, isteri kepada Pengerusi Sabah Energy Corporation Sdn Bhd (SEC), Datuk Annuar Ayub Aman.
Hadir sama Pengerusi Lembaga Pengelola Sekolah Ken Hwa, Datuk Peter Ma; Pengerusi PIBG, Nelson Ng; Naib Pengerusi PIBG, Misha Ho; Pengetua SMJK Ken Hwa, Anthony Chong dan Guru Besar SJK (C) Yuk Yin Keningau, Chong You Xiang.
Turut hadir barisan pengurusan sekolah, PIBG dan peserta kejohanan.
Penganjuran itu turut mendapat sokongan Pengerusi Ken Hwa Pickleball Club, Mohd Rasyid Abdul Ghani, serta Penyelaras Program, Jessica Fu Min Fuah, yang menyelaras perjalanan kejohanan dan aktiviti berkaitan.
Selain menggalakkan gaya hidup aktif, kejohanan itu menjadi platform mempererat hubungan, membina kerjasama dan meningkatkan interaksi positif antara pihak sekolah, PIBG, ibu bapa serta masyarakat setempat.
Penyertaan memberangsangkan juga membuktikan sukan mampu merentasi batas usia dan latar belakang apabila gelanggang menjadi ruang pertemuan yang menyatukan peserta menerusi semangat kesukanan, persahabatan dan persaingan sihat.
Bagi komuniti Ken Hwa, nilai kejohanan bukan sekadar diukur melalui pungutan mata atau kedudukan di podium, sebaliknya melalui persahabatan yang terjalin, kerjasama yang terbina dan hubungan komuniti yang semakin erat.

KENANGAN …. Tengku Adlina Marita (tengah) bersama jawatankuasa penganjur Kejohanan Pickleball PIBG Ken Hwa 2026.






