15 Negara Sertai SIE2026, Perkukuh Potensi Sabah Sebagai Destinasi Perniagaan

KOTA KINABALU: Penyertaan dari 15 negara pada Sabah International Exhibition 2026 (SIE2026) mencerminkan keyakinan komuniti perniagaan antarabangsa terhadap potensi Sabah sebagai destinasi perdagangan, pelaburan dan kerjasama perniagaan.
Timbalan Ketua Menteri III, Datuk Ewon Benedick berkata, SIE2026 menerima sambutan menggalakkan daripada komuniti perniagaan dan penyertaan antarabangsa itu turut memperkukuh aspirasi SIE2026 menerusi tema ‘Sabah – Your Gateway to Global Opportunities’.
“15 negara yang menyertai SIE2026 ialah Australia, Brunei Darussalam, China, Denmark, Finland, India, Indonesia, Jepun, Korea Selatan, Malaysia (Semenanjung), Filipina, Poland, Singapura, Thailand dan Zambia.
“Penyertaan antarabangsa ini merupakan petunjuk kukuh terhadap minat yang semakin meningkat terhadap Sabah sebagai destinasi perdagangan, pelaburan dan kerjasama perniagaan.
“SIE2026 bukan sekadar sebuah pameran, tetapi platform untuk kita menghubungkan pasaran, membina kerjasama, mewujudkan peluang dan meningkatkan nilai,” katanya kepada media semasa Majlis Perasmian SIE2026, di sini, pada Jumaat.

Beliau yang juga Menteri Pembangunan Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan berkata pameran itu menyediakan sebanyak 300 reruai dengan kira-kira 35 peratus melibatkan pempamer antarabangsa termasuk dari rantau BIMP-EAGA.

“kira-kira 10,000 pelawat perdagangan, delegasi, peserta dan pengunjung dijangka menghadiri pameran utama SIE2026 selama tiga hari bermula hari ini hingga Ahad.

“Sepanjang tiga hari ini, kita menyasarkan kira-kira 10,000 pengunjung dan potensi jualan serta transaksi perniagaan sehingga RM10 juta.

“Ini merupakan satu platform kepada usahawan tempatan Sabah untuk memasarkan produk dan perkhidmatan mereka serta meneroka potensi kerjasama perdagangan dengan delegasi dari luar negara.

“Pada masa sama, kita di Sabah mengalu-alukan kehadiran pempamer antarabangsa khususnya dari wilayah BIMP-EAGA melibatkan Brunei Darussalam, Indonesia dan Filipina,” jelasnya.

Beliau berkata SIE2026 mampu mencapai hasil yang cemerlang termasuk membuka lebih banyak peluang kerjasama perdagangan, pelaburan dan jaringan perniagaan kepada usahawan Sabah.
Menurutnya, Sabah mahu meletakkan kedudukannya sebagai pintu gerbang ke Borneo, jambatan kepada BIMP-EAGA dan platform kepada perniagaan untuk mengakses pasaran serantau serta antarabangsa.

Antara program utama SIE2026 ialah Persidangan Perdagangan, Pelaburan dan Industri Halal BIMP-EAGA Ke-3 yang menghimpunkan kira-kira 300 delegasi bagi membincangkan peluang perdagangan, pelaburan dan perkembangan ekonomi halal.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua pempamer, rakan strategik, penaja, persatuan industri, agensi kerajaan serta peserta antarabangsa yang menjayakan SIE2026.

Turut hadir, Presiden Persekutuan Industri Sabah (FSI), Natalie Fung yang juga Pengerusi Bersama Jawatankuasa Penganjur SIE2026.-Penerangan.

Ewon ketika menyampaikan ucapannya.

    Ewon (empat dari kanan) ketika menyempurnakan acara simbolik perasmian SIE2026