Peranan media penting bina komuniti bermaklumat – Haryati

KOTA KINABALU: Media perlu kekal menjadi sumber maklumat yang sahih, pantas dan seimbang bagi memastikan masyarakat tidak mudah terpengaruh dengan maklumat tidak tepat, kata Pensyarah Kanan Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Malaysia Sabah (UMS), Profesor Madya Dr Haryati Abdul Karim.
Beliau berkata pengamal media perlu lebih berhati-hati memilih isu untuk dilaporkan kerana setiap laporan boleh memberi kesan kepada masyarakat, undang-undang dan reputasi organisasi media.
“Selain mendidik masyarakat melalui pelaporan isu semasa, media bertanggungjawab menyampaikan maklumat yang disahkan benar, menjadi badan pengawas serta menyediakan ruang perbincangan.
“Media juga sewajarnya memberi suara kepada golongan yang disisihkan, termasuk orang kurang upaya (OKU),” katanya ketika menyampaikan ceramah sempena Kursus Asas Kewartawanan anjuran Koperasi Pekerja-Pekerja Kerajaan Sabah Berhad (KOPEKS), di sini.
Haryati berkata laporan berkaitan pengumuman kerajaan juga perlu disertakan reaksi orang awam bagi memastikan wujud keseimbangan serta memberi ruang kepada masyarakat mengambil bahagian dalam proses pembangunan negara.
Beliau turut menggesa media bersikap terbuka dan tidak selektif dalam pemilihan isu, selain menyediakan ruangan khas untuk mengetengahkan suara rakyat.
“Untuk menjadi media yang diterima ramai, liputan yang saksama kepada semua kaum perlu diberi perhatian. Elakkan laporan yang menyentuh sensitiviti agama dan budaya,” katanya.
Haryati berkata setiap laporan juga perlu mengetengahkan pandangan kedua-dua pihak, iaitu rakyat atau komuniti dan pihak berkuasa, bagi memastikan prinsip keadilan dan objektiviti dipelihara.
Sementara itu, beliau menyambut baik inisiatif KOPEKS menerbitkan Kinabalu Media, yang menurutnya merupakan akhbar pertama berkonsepkan komuniti di Sabah.
Program itu turut dihadiri Pengerusi KOPEKS Datuk Dr Saat Awang Damit dan Ketua Pegawai Eksekutif KOPEKS, Buvil Angkui.-John Tambanan.

Kapsyen foto: Haryati (duduk, tengah) bergambar bersama tetamu khas sempena Kursus Asas Kewartawanan anjuran KOPEKS di Kota Kinabalu, Khamis.