UMSKAL sedia kongsi kepakaran pensyarah dengan komuniti

LABUAN: Universiti Malaysia Sabah, Kampus Antarabangsa Labuan (UMSKAL) bersedia berkongsi ilmu dan kepakaran pensyarah dengan komuniti setempat, termasuk masjid dan institusi agama, bagi memperluas manfaat kepakaran akademik kepada masyarakat.
Pengarah UMSKAL, Profesor Dr Shamsul Bahari Shamsudin berkata, universiti bukan sahaja berperanan sebagai pusat pendidikan, malah menjadi platform pencerahan ilmu, penjana inovasi serta pemacu kesejahteraan sosioekonomi masyarakat secara inklusif.
Katanya, universiti turut memainkan peranan menyediakan tenaga kerja mahir dan profesional bagi memenuhi keperluan industri serta pembangunan negara, selain menghasilkan penyelidikan dan penyelesaian jangka panjang dalam menangani cabaran sosial, kesihatan dan alam sekitar.
“Membawa kepakaran akademik turun padang dapat membantu menyelesaikan isu setempat menerusi program kesedaran dan pembangunan mampan, selain membentuk masyarakat yang berfikiran kritis, bertimbang rasa serta menjunjung keharmonian,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan Kuliah Isyak Khas bertajuk ‘Peranan Universiti Kepada Masyarakat’ di Masjid Jamek Layang-Layangan (MJLL), di sini, baru-baru ini.
Shamsul Bahari berkata UMSKAL mengalu-alukan kerjasama komuniti dengan menjadikan universiti itu sebagai pusat rujukan, termasuk menjemput pensyarah dan kakitangan berkongsi ilmu, kepakaran serta pengalaman dalam bidang masing-masing.
Beliau turut menggalakkan mahasiswa menganjurkan program kemasyarakatan dan keagamaan bersama penduduk setempat bagi memberi peluang mereka mengenali adat serta budaya masyarakat di Labuan.
“Warga universiti sentiasa mahu berbakti kepada masyarakat dan UMSKAL komited membantu memakmurkan negara serta meningkatkan kesejahteraan rakyat secara inklusif,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi MJLL Haji Basran Jamil berkata pihaknya menjadikan UMSKAL sebagai rakan strategik dalam usaha memperluas penyebaran ilmu melalui kepakaran pensyarah Fakulti Kewangan dan Antarabangsa Labuan (FKAL), Fakulti Komputeran dan Informatik (FKI) serta Pusat Penataran Ilmu dan Bahasa (PPIB).
Beliau turut merakamkan penghargaan atas kerjasama dan komitmen UMSKAL dalam menjayakan pelbagai program di masjid berkenaan.

KENANGAN …. Shamsul Bahari (duduk, empat kanan), Basran Jamil (lima kanan) dan Hamir Zahari (enam kanan) bersama jemaah yang menghadiri Kuliah Isyak Khas di Masjid Jamek Layang-Layangan, Labuan, baru-baru ini.