Kerajaan Sabah disaran sedia air minuman percuma di sekolah

Oleh JOHN TAMBANAN


BELURAN: Kerajaan Sabah disaran menyediakan kemudahan air minuman bersih secara percuma di semua sekolah di negeri ini bagi memastikan keperluan asas dan kebajikan murid, khususnya di kawasan luar bandar serta pulau, tidak terabai.
Menteri Pendidikan, Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah, Datuk James Ratib, berkata kemudahan itu amat penting, terutama ketika cuaca panas, selain dapat membantu murid daripada keluarga berpendapatan rendah.
Katanya, cadangan berkenaan mengambil kira keadaan sebahagian murid yang berdepan kekangan kewangan untuk membeli makanan dan minuman di sekolah.
“Kadang-kadang ibu bapa hanya memberi RM3 kepada anak. Untuk membeli nasi lemak dan mi goreng di sekolah pun sudah memerlukan perbelanjaan, jadi tidak banyak lagi yang tinggal untuk membeli air minuman.
“Ada juga murid yang membawa air dari rumah, tetapi bekalan itu kadang-kadang tidak mencukupi,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas mengadakan lawatan kerja dan meninjau tapak pembinaan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Balaban Jaya, di sini, Isnin.
James berkata, kemudahan air minuman bersih itu wajar diperluaskan ke semua sekolah di Sabah dan tidak hanya tertumpu kepada sekolah tertentu.
“Kalau boleh, kita minta supaya perkara ini dilaksanakan di seluruh Sabah, melibatkan kira-kira 1,300 sekolah.
“Jika boleh, kita letakkan sekurang-kurangnya satu mesin air di setiap sekolah. Paling tidak, anak-anak kita mempunyai akses kepada air minuman yang bersih, terutama mereka yang berada di kawasan pulau,” katanya.
Beliau berharap Kerajaan Sabah dapat mengambil inisiatif menyediakan kemudahan itu sementara menunggu perkara berkenaan diserahkan kepada Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).
Dalam perkembangan sama, James turut meninjau perkembangan projek pembangunan di Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Nangka serta pembinaan SMK Balaban Jaya.
Di SK Sungai Nangka, projek pembinaan baharu blok bilik darjah modular Blok A dan C di bawah Jabatan Pendidikan Negeri Sabah (JPNS) sudah diluluskan dan kini dalam proses pelantikan kontraktor, dengan kerja pembinaan dijangka bermula pertengahan September ini.
Sementara itu, Projek Pengubahsuaian dan Naik Taraf Blok B (USNT) yang dikendalikan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Beluran sedang dilaksanakan dan dijangka siap awal November depan.
Selepas kedua-dua projek itu siap, kemudahan di SK Sungai Nangka akan digunakan untuk menempatkan murid SK Balaban Jaya pada sesi pagi, yang ketika ini beroperasi dari SK Pekan Beluran.
SMK Balaban Jaya pula akan menggunakan kemudahan berkenaan pada sesi petang.
Menurut James, pengoperasian dua sesi itu membolehkan kemudahan sekolah dimanfaatkan secara optimum bagi memenuhi keperluan murid sekolah rendah dan menengah.
Beliau pada masa sama meminta KPM mempertimbangkan pembinaan kawasan parkir dan kuarters guru bagi membantu tenaga pengajar yang terpaksa menempuh perjalanan jauh untuk ke sekolah.
Mengenai pembinaan SMK Balaban Jaya, James berkata projek itu mengalami kelewatan kira-kira 5.6 peratus, antaranya disebabkan isu pembangunan tanah pada peringkat awal pelaksanaan.
Bagaimanapun, katanya, kerja pembinaan masih berjalan dan projek itu dijangka siap menjelang akhir 2027.
Beliau turut meminta KPM memastikan pembayaran kepada kontraktor dibuat mengikut jadual dan ketetapan bagi melancarkan kerja pembinaan serta mengelakkan kelewatan bayaran yang boleh menjejaskan kemajuan projek.
Pada masa sama, James memuji prestasi kontraktor yang disifatkannya baik dalam melaksanakan kerja pembinaan SMK Balaban Jaya.

James Ratib ketika meninjau perkembangan pembangunan di SK Sungai Nangka, Beluran.