Polis Tawau tahan dua lelaki dalam dua kes berasingan

Oleh JAMES LEONG


TAWAU: Polis menahan dua lelaki tempatan dalam dua kes berasingan di daerah ini, masing-masing membabitkan dakwaan merogol wanita berusia 19 tahun dan mencederakan isteri.
Ketua Polis Daerah Tawau, ACP Rosdi Mat Jusoh, berkata suspek pertama, seorang tukang gunting rambut berusia 24 tahun, ditahan kira-kira jam 10 malam Khamis lalu di rumahnya di Kampung Titingan.
Beliau berkata, suspek ditahan sepasukan pegawai Bahagian Siasatan Jenayah Daerah selepas polis menerima laporan daripada seorang wanita berusia 19 tahun yang mendakwa dirogol lelaki terbabit, yang dikenalinya.
Katanya, kejadian dipercayai berlaku kira-kira jam 10 malam Selasa lalu di sebuah unit perumahan awam di Kampung Titingan.
“Mangsa membenarkan suspek masuk ke rumahnya untuk membantu membaiki telefon bimbit sebelum suspek dipercayai membawanya ke sebuah bilik dan melakukan perbuatan berkenaan,” katanya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan dan siasatan lanjut masih dijalankan.
Polis menasihatkan orang ramai supaya sentiasa berwaspada dan tidak sewenang-wenangnya membenarkan orang lain masuk ke rumah, termasuk jiran atau kenalan, terutama ketika bersendirian.
Dalam kes berasingan, seorang lelaki tempatan berusia 41 tahun ditahan selepas didakwa mencederakan isterinya di sebuah rumah di Kampung Muhibbah Raya pada 11 September lalu.
Rosdi berkata, suspek ditahan kira-kira jam 3.25 petang keesokannya selepas mangsa membuat laporan polis.
“Siasatan awal mendapati kejadian dipercayai berpunca daripada salah faham antara pasangan terbabit.
“Suspek didakwa menendang belakang mangsa sebelum memukul kepalanya menggunakan hulu parang, menyebabkan lebam dan kecederaan pada beberapa bahagian tubuh,” katanya.
Mangsa kemudian meninggalkan rumah untuk tinggal bersama adiknya sebelum membuat laporan polis selepas mendakwa terus diganggu suspek.
Kes disiasat mengikut Seksyen 323 dan 18A Kanun Keseksaan.
Polis menasihatkan individu yang berdepan konflik rumah tangga supaya mendapatkan bantuan melalui saluran sewajarnya bagi mengelakkan kejadian tidak diingini.

Rosdi Mat Jusoh.