POLIS TAHAN LELAKI DISYAKI TERLIBAT KES KECURIAN ALUMINIUM

Oleh FARDY BUNGGA


PENAMPANG: Seorang lelaki ditahan selepas disyaki terlibat dalam kes kecurian aluminium di Kampung Nambazan, di sini, semalam.
Lelaki berusia 37 tahun terbabit difahamkan berjaya ditahan penduduk kampung terlebih dahulu sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.
Ketua Polis Daerah Penampang, Superintendan Sammy Newton berkata, bertindak atas maklumat awam, sepasukan anggota terus dikerah ke lokasi kejadian untuk menjalankan siasatan.
“Dalam kejadian jam 10.45 pagi itu, anggota Unit Kereta Peronda (MPV) yang menerima maklumat bergegas ke lokasi sebelum menahan suspek yang telah diserahkan kepada pihak polis oleh orang awam.
“Polis turut merampas dua beg berisi aluminium serta sebuah kereta yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kes berkenaan bagi membantu siasatan,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, semaalam
Menurutnya, siasatan lanjut akan dijalankan mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana kesalahan mencuri.
Sehubungan itu, Sammy merakamkan penghargaan kepada orang awam atas keprihatinan dan kerjasama yang diberikan dalam menyalurkan maklumat berkaitan kegiatan jenayah serta membantu pihak polis.
Katanya, kerjasama erat antara polis dan masyarakat amat penting dalam usaha membanteras jenayah, selain memastikan keselamatan serta kesejahteraan komuniti setempat sentiasa terpelihara.

Suspek ditahan selepas disyaki terlibat dalam kejadian curi aluminium. Kenderaan suspek yang membawa aluminium turut dirampas untuk siasatan lanjut.