MAGEBS, MSH Mega Tech meterai MoU teroka Sabah Smart Card

KOTA KINABALU: Gabungan Muafakat Persatuan Etnik Bumiputera Negeri Sabah (MAGEBS) dan MSH Mega Tech Sdn Bhd memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) bagi meneroka pembangunan MAGEBS (Sabah) Smart Card serta ekosistem digital yang menghubungkan pelancongan, komuniti dan usahawan tempatan.
MoU itu dimeterai Sabtu lalu di Sutera Harbour Marina Club, Magellan Sutera, di sini, sebagai langkah awal ke arah pembangunan platform digital yang berpotensi menghubungkan pedagang, perniagaan tempatan dan pengalaman budaya Sabah.
Yang Dipertua MAGEBS, Datuk Abdullah Hj Sibil, berkata kerjasama itu bukan sekadar membangunkan kad, sebaliknya membuka ruang kepada pembentukan ekosistem digital yang menghubungkan pelancong, komuniti, usahawan dan perniagaan tempatan.
“Bagi MAGEBS, ini bukan sekadar mengenai sebuah kad. Yang lebih penting ialah ekosistem yang boleh dibina di sebalik kad tersebut dan bagaimana teknologi dapat digunakan untuk menghubungkan pelancong, komuniti, usahawan, merchant serta pengalaman budaya Sabah,” katanya.
Beliau berkata, MAGEBS mempunyai jaringan 36 persatuan etnik Bumiputera Sabah yang boleh menjadi kekuatan dalam meneroka peluang baharu berkaitan ekonomi digital dan pelancongan.
Katanya, inisiatif itu turut mencerminkan aspirasi MAGEBS memperkukuh peranan masyarakat sivil sebagai penghubung antara komuniti, sektor swasta dan kerajaan.
MAGEBS (Sabah) Smart Card sedang diterokai sebagai ekosistem yang berpotensi merangkumi kemudahan digital untuk pelancong, jaringan perniagaan tempatan, penyertaan usahawan MAGEBS, promosi produk serta perkhidmatan tempatan dan pengalaman budaya serta komuniti.
Bagaimanapun, pembangunan inisiatif itu akan dilaksanakan secara berperingkat dan tertakluk kepada penyelarasan aspek teknikal, komersial serta tadbir urus yang dipersetujui kedua-dua pihak.
MoU berkenaan bukan pelancaran rasmi Smart Card, sebaliknya menjadi asas kepada perbincangan lanjut mengenai struktur pelaksanaan, kerjasama komersial dan penyelarasan teknikal.
Turut hadir Timbalan Yang Dipertua MAGEBS, Kol (K) Dato’ Juhari Hj Janan; Pengarah Urusan MSH Mega Tech, Dato’ Muhammad Saiful Harun dan Pengarah Eksekutif MSH Mega Tech, Asdi Ali. -JT

MOU …. Dari kiri, Juhari, Abdullah, Muhammad Saiful dan Asdi ketika menandatangani MoU berkenaan.