Oleh FARDY BUNGGA
KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri memperuntukkan sebanyak RM550,000 kepada Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (Pemadam) Negeri, setiap tahun bagi melaksanakan aktiviti pencegahan penyalahgunaan dadah.
Inisiatif itu mencerminkan keseriusan Kerajaan Negeri dalam memastikan isu penyalahgunaan dadah tidak terus menular dalam kalangan masyarakat.
Menteri Wanita, Kesihatan Dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Datuk Julita Majungki berkata, penglibatan aktif Kerajaan Negeri melalui Pemadam penting dalam meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai bahaya penyalahgunaan dadah.
Katanya, inisiatif itu juga bagi memperkukuh kerjasama dengan komuniti dalam usaha membendung masalah berkenaan daripada terus menular.
“Kerajaan Negeri sebenarnya memperuntukkan sebanyak RM550,000 kepada Pemadam negeri untuk aktiviti penjagaan, termasuk pendedahan dengan masyarakat dan sebagainya.
“Itu menandakan kita juga cukup serius untuk memastikan perkara ini, kita ada usaha keterlibatan dalam mencegah dan memastikan penyalahgunaan dadah ini tidak terus menular,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Program Jom Sihat, Jom Bebas Dadah Peringkat Daerah Penampang di Buhavan Square, di sini, semalam.
Menurutnya, penglibatan aktif Kerajaan Negeri melalui Pemadam juga penting dalam meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai bahaya penyalahgunaan dadah.
Selain itu katanya, ia turut memperkukuh kerjasama dengan komuniti dalam usaha membendung masalah dadah khususnya dalam kalangan anak muda.
“Kerajaan Negeri turut menekankan kepentingan pendekatan berasaskan komuniti dalam menangani isu berkenaan, khususnya melalui program kesedaran, pendidikan dan penglibatan masyarakat secara berterusan,” katanya.

TINJAU ….. Julita meninjau salah sebuah reruai yang disediakam pada program berkenaan.








