Oleh JOHN TAMBANAN
SHANGHAI: Lebih 10 juta carian berkaitan Sabah direkodkan di REDnote (Xiaohongshu), menunjukkan minat tinggi pengguna China terhadap destinasi pelancongan negeri itu.
Data berkenaan dikongsikan ketika lawatan Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Jafry Ariffin, ke pejabat REDnote di Shanghai, Rabu lalu.
Antara tarikan Sabah yang paling mendapat perhatian di platform berkenaan ialah pemandangan matahari terbenam, kawasan pergunungan, keindahan laut serta makanan laut segar.
Jafry berkata, jumlah carian itu mencerminkan peningkatan daya tarikan Sabah dalam pasaran China, selain membuka peluang untuk menterjemahkan minat dalam talian kepada kunjungan sebenar sempena kempen Tahun Melawat Sabah 2027.
“Ini petunjuk yang sangat menggalakkan bagi Sabah. Minat itu sudah ada dan fokus kita kini adalah menukarkannya kepada kunjungan sebenar.
“Kita mahu lebih ramai pelancong China merasai sendiri pengalaman di Sabah, daripada matahari terbenam yang menakjubkan dan Gunung Kinabalu hingga pulau-pulau, makanan laut, hidupan liar serta kepelbagaian budaya kita,” katanya.
Beliau berkata, platform digital seperti REDnote semakin penting dalam mempengaruhi keputusan perjalanan, khususnya dalam kalangan pelancong bebas dan golongan muda.
Sehubungan itu, katanya, Sabah akan meneroka peluang kerjasama strategik dengan REDnote bagi memperkukuh promosi destinasi serta menjangkau lebih ramai bakal pelancong di seluruh China.
“China kekal sebagai pasaran pelancongan penting bagi Sabah. Sambil kita memperkukuh hubungan penerbangan, pemasaran destinasi juga perlu menjangkau pelancong melalui platform yang mereka gunakan untuk mendapatkan maklumat dan merancang percutian,” katanya.
Lawatan berkenaan adalah sebahagian daripada usaha berterusan Sabah di China untuk memperkukuh promosi pelancongan, kerjasama industri dan akses pasaran, selaras dengan persiapan menuju kempen Tahun Melawat Sabah 2027.

Jafry Ariffin menyampaikan cenderamata kepada Dodo Kwong, Ketua Serantau Asia dan Timur Tengah, Perniagaan Global REDnote, ketika lawatan ke pejabat platform itu di Shanghai.



