Oleh JAMES LEONG
LAHAD DATU: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (MMEA) menahan sebuah bot nelayan pukat jerut ikan bilis yang disyaki melanggar syarat lesen ketika menjalankan aktiviti menangkap ikan di perairan Kunak, pada 22 September lalu.
Pengarah MMEA Lahad Datu, Komander Maritim Dzulfikhar Ali berkata, bot berkenaan ditahan kira-kira 0.8 batu nautika timur laut Pulau Burong, Madai, Kunak, pada kira-kira jam 12.35 tengah hari.
Katanya, bot berkenaan dikesan sedang menjalankan aktiviti menangkap ikan di kawasan yang dilarang.
“Hasil pemeriksaan awal mendapati bot dikendalikan seorang tekong tempatan berusia 42 tahun bersama tiga kru warga Filipina berusia antara 21 hingga 41 tahun.
“Kesemua mereka mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah,” katanya dalam kenyataan.
Dzulfikhar berkata, kes berkenaan disiasat mengikut Akta Perikanan 1985 kerana disyaki melanggar syarat lesen dengan menjalankan aktiviti menangkap ikan di kawasan yang tidak dibenarkan.
Katanya, operasi penguatkuasaan akan terus dipertingkatkan bagi memastikan semua pengusaha dan nelayan mematuhi syarat lesen serta peraturan perikanan yang ditetapkan.
“Usaha ini penting bagi melindungi sumber perikanan dan memastikan keselamatan perairan negara sentiasa terpelihara,” katanya.
Beliau turut menggesa orang ramai menyalurkan maklumat berkaitan jenayah maritim atau kecemasan di laut kepada Pusat Operasi Ibu Pejabat MMEA Lahad Datu menerusi WhatsApp di talian 016-930 5727 atau talian kecemasan 999 untuk tindakan segera.

Bot nelayan yang ditahan MMEA di perairan Kunak pada 22 September lalu.





