PEMANDU HILANG DITEMUI LEMAS

KOTA KINABALU: Seorang lelaki yang dilaporkan hilang selepas kereta dipandunya terjunam ke dalam parit besar di Jalan Pan Borneo berhampiran Kampung Kawakaan, di sini, petang Khamis, ditemui meninggal dunia.
Mangsa, Benny Chen Chun Hwa berusia 27 tahun yang dipercayai dihanyutkan arus deras ditemui kira-kira dua kilometer daripada kereta Honda WR-V miliknya pada jam 10.30 pagi semalam.
Mayat mangsa ditemui pasukan bomba yang menjalankan operasi mencari dan menyelamat selepas menerima laporan kejadian.
Ketua Zon Kota Kinabalu, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, Johari Dzulkiflie berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kemalangan berkenaan pada jam 4.55 petang semalam.
Katanya, sepasukan anggota digerakkan ke lokasi dan mendapati sebuah Honda WR-V terbabas sendiri sebelum terjunam ke dalam parit.
“Pemeriksaan dijalankan di dalam kenderaan dan kawasan sekitar bagaimanapun gagal menemui mangsa.
“Pasukan bomba bersama polis kemudian menjalankan pencarian di sekitar lokasi, namun operasi terpaksa ditangguhkan pada jam 8.10 malam atas arahan polis dan akan disambung sekiranya terdapat petunjuk baharu,” katanya.
Menurutnya, operasi SAR disambung pagi ini (kelmarin) sebelum mangsa ditemui kira-kira dua kilometer dari lokasi kereta pada jam 10.30 pagi.
“Mangsa ditemukan tersangkut pada rumpun bambu di anak sungai Kampung Kawakaan, Inanam.
“Mayat mangsa kemudian dibawa keluar sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya.
Terdahulu, tular di media sosial rakaman sebuah kenderaan dipercayai terbabas sebelum terjunam ke dalam parit di laluan Jalan Pan Borneo ketika hujan lebat, petang semalam.
Rakaman pengguna jalan raya itu turut menunjukkan beberapa individu berada di lokasi bagi membantu, sebelum sebuah kren digunakan untuk mengangkat kenderaan terbabit keluar dari parit.

Pasukan bomba mengeluarkan mayat mangsa dari anak sungai.

Mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.

Kenderaan mangsa yang remuk selepas dipercayai terbabas dan terjunam ke dalam parit.