Oleh JAMES LEONG
SANDAKAN: Tiga persatuan perniagaan di Sandakan berkata syarikat tempatan kini berdepan peningkatan kos, kekurangan bekalan, masalah pelabuhan serta pertambahan peraturan kerajaan, dengan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) paling terkesan.
Tiga persatuan berkenaan ialah Persatuan Saudagar Perkakasan, Jentera dan Bahan Binaan Sandakan, Persatuan Kontraktor Bangunan Sandakan dan Persatuan Pembina Sandakan.
Menurut mereka, ahli persatuan berdepan kekurangan bahan mentah, kelewatan di pelabuhan dan logistik, perubahan harga minyak, peningkatan kos operasi serta lebih banyak keperluan pentadbiran.
Kebanyakan syarikat terbabit merupakan firma kecil dalam sektor pembinaan, pengubahsuaian dan kerja naik taraf yang mempunyai tenaga kerja terhad. Peraturan baharu daripada agensi seperti Jabatan Tenaga Kerja, Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) dan Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) turut disifatkan sebagai beban kepada syarikat.
Antara dasar yang dibangkitkan termasuk dua kali kenaikan gaji minimum dalam satu penggal, bayaran ansuran cukai CP500, pelaksanaan e-Invois, keperluan melantik penyelaras keselamatan serta perubahan subsidi bahan api.
Mereka berkata, syarikat yang mempunyai lima pekerja atau lebih perlu melantik penyelaras keselamatan, selain diwajibkan mengikuti kursus selama tiga hari dan menduduki peperiksaan dengan kos sekitar RM800 hingga RM1,200.
Persatuan berkenaan berkata mereka menyokong usaha meningkatkan kebajikan pekerja, keselamatan dan tadbir urus, namun dasar baharu perlu dikaji terlebih dahulu, dibincangkan bersama pihak industri, diberikan tempoh penyesuaian yang munasabah serta dilaksanakan secara konsisten.
Katanya, dasar di peringkat nasional juga perlu mengambil kira keadaan Sabah dan Sarawak yang berdepan jarak perjalanan lebih jauh serta kos logistik yang lebih tinggi.
Mereka turut menyuarakan kebimbangan mengenai keadaan di Pelabuhan Sandakan, khususnya berikutan kren pelabuhan mudah alih yang tidak lagi beroperasi.
Menurut mereka, kren berkenaan kerap mengalami kerosakan dan kerja pembaikan sedia ada tidak mencukupi, justeru kerajaan diminta menyediakan kren baharu, peralatan sokongan serta pelan penyelesaian jangka pendek dan jangka panjang yang jelas.
Perkara itu disifatkan semakin mendesak berikutan projek gas PETRONAS yang dijangka meningkatkan permintaan terhadap kemudahan pelabuhan.
Bekalan simen turut menjadi antara isu yang dibangkitkan apabila gangguan bekalan simen pukal kemudiannya turut menjejaskan bekalan simen dalam beg.
Mereka berkata, simen merupakan bahan penting dalam sektor pembinaan dan sebarang kelewatan bekalan boleh memberi kesan kepada kontraktor, kedai perkakasan, syarikat pengangkutan, penyewaan jentera serta pekerja.
Keadaan itu boleh menyebabkan projek diperlahankan atau dihentikan, sedangkan kontraktor masih perlu menanggung kos gaji pekerja dan perbelanjaan tetap.
Justeru, mereka menggesa supaya bekalan simen distabilkan, stok yang mencukupi disediakan di kawasan Pantai Timur Sabah serta satu pelan kecemasan diwujudkan bagi menangani gangguan bekalan.
Selain itu, mereka berkata kos bahan api dan pengangkutan turut meningkat, dan menggesa kerajaan menghidupkan semula perdagangan barter dengan selatan Filipina bagi merancakkan ekonomi tempatan.
Persatuan berkenaan berkata Sandakan mempunyai potensi besar untuk berkembang, namun sektor perniagaan memerlukan dasar yang stabil, pelabuhan yang berfungsi dengan baik serta bekalan bahan yang boleh dipercayai.
Kerajaan juga digesa mendapatkan pandangan pihak industri sebelum melaksanakan peraturan baharu, di samping menyelesaikan masalah sedia ada ketika meneruskan pelaksanaan projek pembangunan berskala besar.
Hadir pada pertemuan itu ialah Presiden Persatuan Saudagar Perkakasan, Jentera dan Bahan Binaan Sandakan, Johnny Yek; Presiden Persatuan Kontraktor Bangunan Sandakan, So Chee Ming; dan Presiden Persatuan Pembina Sandakan, Chan Boon Thian.

Barisan kepimpinan tiga persatuan bergambar selepas mengadakan pertemuan bersama.





