TAWAU: Polis menahan enam individu dalam kes berasingan membabitkan dadah, kesalahan imigresen dan ugutan jenayah di Tawau serta Lahad Datu pada 5 dan 6 Oktober lalu.
Di Tawau, dua lelaki warga asing berusia 18 dan 19 tahun ditahan berhampiran Pos Polis Brumpada kira-kira 9 malam, 6 Oktober, selepas mereka dilihat berkelakuan mencurigakan.
Ketua Polis Daerah Tawau, ACP Rosdi Mat Jusoh, berkata pemeriksaan badan tidak menemui sebarang barangan terlarang, namun kedua-duanya tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah.
Kedua-dua suspek dibawa ke Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah untuk siasatan mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952. Tiada dadah dirampas dalam kejadian itu.
Dalam kes berasingan, polis menahan seorang lelaki di Kampung Tanah Merah, Jalan Tanjung Batu, selepas dia didakwa mengugut untuk membakar rumah keluarganya dan bertindak agresif terhadap bapanya yang berusia 84 tahun.
Rosdi berkata suspek didakwa membaling objek ke arah bapanya serta kerap merosakkan barangan di rumah.
Katanya, lelaki warga emas itu bersama isterinya kemudian membuat laporan polis kerana bimbang akan keselamatan mereka.
Suspek disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan jenayah.
Sementara itu, polis Lahad Datu menahan tiga individu dalam dua serbuan menerusi Op Tapis.
Serbuan pertama di sebuah premis telekomunikasi di Kampung Tanjung Labian pada 5 Oktober membawa kepada penahanan seorang pengawal keselamatan lelaki tempatan berusia 33 tahun dan wanita warga Filipina berusia 29 tahun.
Serbuan kedua di sebuah rumah di Kampung Agaseh awal keesokan harinya pula membawa kepada penahanan seorang wanita warga Filipina berusia 50 tahun yang tidak memiliki dokumen perjalanan sah.
Polis merampas lapan paket disyaki syabu seberat 6.05 gram bernilai kira-kira RM660, selain sepasang gunting, sebatang penyedut minuman yang diubah suai dan kerajang aluminium.
Ketiga-tiga suspek didapati negatif dadah dalam ujian saringan awal.
Kes disiasat mengikut Seksyen 12(2) dan 39A(1) Akta Dadah Berbahaya 1952.
Ketua Polis Daerah Lahad Datu, ACP Datuk Hj. Dzulbaharin Hj. Ismail, menggesa orang ramai menyalurkan maklumat berkaitan penyalahgunaan atau pengedaran dadah kepada Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Lahad Datu di talian 089-881222 atau talian kecemasan 999.
Polis turut mengingatkan orang ramai supaya menjauhi dadah serta melaporkan sebarang kegiatan mencurigakan atau menyalahi undang-undang kepada pihak berkuasa.

Rosdi Mat Jusoh








