Dua lelaki warga asing ditahan, disyaki terlibat penyalahgunaan dadah

TAWAU: Dua lelaki warga asing berusia 18 dan 19 tahun ditahan polis selepas disyaki terlibat dalam penyalahgunaan dadah di kawasan Pondok Polis Brumas, di sini, malam semalam.
Kedua-dua suspek ditahan anggota Balai Polis Bombalai kira-kira jam 9 malam selepas mereka dikesan dalam keadaan mencurigakan di kawasan berkenaan.
Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Rosdi Mat Jusoh, berkata pemeriksaan badan terhadap kedua-dua suspek tidak menemukan sebarang barang salah.
“Pemeriksaan lanjut mendapati kedua-dua suspek tidak memiliki dokumen perjalanan diri yang sah.
“Mereka kemudian ditahan dan dibawa ke Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau untuk siasatan lanjut,” katanya dalam kenyataan.
Rosdi berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.
“Tiada sebarang rampasan direkodkan dalam tangkapan berkenaan,” katanya.
Beliau berkata, polis akan terus mempergiat tindakan penguatkuasaan terhadap individu yang terbabit dalam kegiatan penyalahgunaan dadah.
Katanya, masyarakat turut dinasihatkan supaya menjauhi penyalahgunaan dadah serta tidak melindungi mana-mana individu yang terbabit dalam kegiatan berkenaan.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan aktiviti penyalahgunaan dadah diminta menyalurkannya kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya.

TANGKAP … Kedua-dua suspek dibawa ke IPD Tawau untuk siasatan lanjut.