Oleh FARDY BUNGGA
KOTA KINABALU: Seorang remaja lelaki berusia 18 tahun maut dipercayai terkena renjatan elektrik ketika cuba melarikan diri daripada pemeriksaan polis di kawasan Perindustrian Nounton, Inanam, di sini, awal pagi semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 4 pagi itu, mangsa dikatakan melarikan diri bersama dua rakannya selepas menyedari kehadiran polis yang tiba di lokasi susulan laporan orang awam.
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Shahrudin Mat Husain berkata, sepasukan Unit Kereta Peronda Polis (MPV) digerakkan ke lokasi sebaik menerima maklumat berkenaan bagi menjalankan pemeriksaan.
Katanya, sebaik tiba, anggota polis mengesan tiga lelaki berada di tepi jalan berhampiran sebuah premis perniagaan.
“Ketiga-tiga lelaki berkenaan terus melarikan diri sebaik menyedari kehadiran anggota polis. Seorang melarikan diri dengan memasuki kawasan premis berpagar, manakala dua lagi bertindak memanjat bumbung zink bangunan berhampiran.
“Susulan itu, mangsa yang dipercayai terkena renjatan elektrik ditemukan tidak sedarkan diri di lokasi kejadian,” katanya ketika dihubungi.
Shahrudin berkata, mangsa disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan dari Hospital Queen Elizabeth II (HQE II) yang hadir di lokasi kejadian.
“Pemeriksaan awal pada tubuh mangsa menemukan kesan kecederaan pada bahagian tangan kanan dan paha kanan yang dipercayai akibat renjatan elektrik.
“Setakat pemeriksaan awal, tiada kecederaan lain atau petunjuk yang menunjukkan wujudnya unsur jenayah berkaitan kematian mangsa.
“Bagaimanapun, bedah siasat akan dijalankan bagi menentukan punca sebenar kematian,” katanya.
Menurutnya, dua lagi lelaki terbabit berjaya ditahan dan dibawa ke Balai Polis Inanam untuk siasatan lanjut.
Katanya, polis masih menjalankan siasatan menyeluruh bagi mengenal pasti kronologi serta keadaan sebenar yang membawa kepada kejadian itu.
“Orang ramai dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kejadian ini sementara siasatan masih dijalankan,” katanya.

Mayat mangsa dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Queen Elizabeth (HQE) untuk proses bedah siasat.







