Oleh JOHN TAMBANAN
KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Penampang, Datuk Ewon Benedick menggesa Kerajaan Persekutuan mengekalkan peruntukan Program Pengukuran Tanah Anak Negeri Sabah (PANTAS) sekurang-kurangnya RM76 juta sepanjang pelaksanaan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13), dari 2026 hingga 2030.
Beliau membangkitkan perkara itu ketika membahaskan Belanjawan 2027 di peringkat Jawatankuasa bagi Jabatan Perdana Menteri (JPM) di Dewan Rakyat, di sini.
Ewon yang juga Timbalan Ketua Menteri III merangkap Menteri Pembangunan Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan Sabah berkata, PANTAS yang dilaksanakan sejak Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK10) menerima peruntukan keseluruhan RM202.45 juta sepanjang RMK10 hingga RMK12.
Bagaimanapun, katanya, siling peruntukan bagi program itu dalam RMK13 hanya RM10 juta, termasuk RM1 juta yang telah disalurkan bagi tahun 2026.
“Saya menggesa Kerajaan Persekutuan agar mengekalkan jumlah peruntukan pelaksanaan PANTAS bagi RMK13 (2026-2030) sepertimana peruntukan bagi RMK12 (2021-2025) iaitu sekurang-kurangnya tidak kurang daripada RM76 juta atau tidak kurang daripada RM15 juta setahun sebagai antara program utama Agenda Ekonomi Bumiputera di Sabah,” katanya.
Sehubungan itu, beliau turut mencadangkan supaya fungsi Bahagian Hal Ehwal Sabah dan Sarawak (BHESS) di bawah JPM dimurnikan bagi membolehkan bahagian berkenaan memantau pelaksanaan program khusus untuk Sabah, termasuk PANTAS.
Mengenai biasiswa pendidikan, Ewon menghargai pengumuman Belanjawan 2027 yang menggandakan tawaran tajaan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) kepada anak kelahiran Sabah dan Sarawak, membabitkan 4,200 pelajar setiap tahun.
Beliau berkata, Kerajaan Sabah turut menyediakan Biasiswa Kerajaan Negeri Sabah (BKNS) dengan peruntukan tahunan mencecah RM155 juta.
Justeru, beliau mencadangkan penyelarasan lebih baik antara JPA Persekutuan dengan JPA Sabah supaya peluang mendapatkan biasiswa dan tajaan turut diperluas kepada pelajar daripada keluarga berpendapatan rendah, termasuk mereka yang memperoleh keputusan akademik sederhana.
Beliau membangkitkan perkara itu ketika menyentuh peruntukan RM1.07 bilion bagi Program Biasiswa dan Pinjaman Pelajaran JPA dalam Belanjawan 2027.
Mengenai pelaksanaan dasar Borneonisasi, Ewon menggesa Kerajaan Persekutuan meningkatkan pengambilan anak tempatan Sabah dalam perkhidmatan awam Persekutuan, termasuk pelantikan mereka sebagai ketua jabatan.
“Saya juga menggesa agar dasar Borneonisasi Perkhidmatan Awam Persekutuan sepertimana dalam semangat Perjanjian Malaysia 1963 dapat ditingkatkan secara berterusan bukan hanya dari segi pengambilan, tetapi juga perlantikan Ketua-Ketua Jabatan Persekutuan di Sabah di kalangan anak-anak tempatan Sabah,” katanya.
Beliau turut meminta Kerajaan Persekutuan mengesahkan jumlah dan peratusan pengambilan anak tempatan Sabah berbanding keseluruhan perjawatan awam Persekutuan di negeri itu.
Perkara itu dibangkitkan ketika membahaskan peruntukan RM2.736 juta kepada Urus Setia Cawangan Sabah, Suruhanjaya Perkhidmatan Awam bagi menguruskan hal ehwal pengambilan dan perkhidmatan calon serta pegawai Perkhidmatan Awam Am Persekutuan di Sabah.
Dalam perbahasan sama, Ewon turut menyentuh pentadbiran Mahkamah Anak Negeri (MAN) di Labuan yang kini berada di bawah tanggungjawab Kerajaan Persekutuan.
Beliau menggesa supaya asas pentadbiran, semangat dan fungsi MAN Labuan terus berlandaskan Enakmen Mahkamah Anak Negeri Sabah, termasuk dalam aspek perjawatan Ketua Anak Negeri yang merangkumi masyarakat Anak Negeri beragama Islam dan bukan Islam.
Sementara itu, beliau turut meminta penjelasan mengenai peningkatan peruntukan Majlis Keselamatan Negara (MKN) kepada RM746.47 juta bagi 2027 berbanding anggaran dipinda RM68.30 juta pada 2026.
Beliau meminta kerajaan memperincikan projek atau perolehan aset yang akan dilaksanakan menggunakan peruntukan berkenaan, termasuk program dan projek yang dirancang khusus untuk Sabah.
Ewon turut meminta penjelasan sama ada peningkatan peruntukan itu mempunyai kaitan dengan kemungkinan pelaksanaan Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU-16) pada tahun hadapan.

Ahli Parlimen peruntukan PANTAS) ketika membahas Belanjawan JPM






