Oleh JAMES LEONG
TAWAU: Seorang lelaki berusia 59 tahun mengalami kecederaan patah ibu jari tangan kanan selepas dilanggar sebuah kereta Perodua Viva yang mengundur di sebuah stesen minyak di Jalan Kuhara, di sini, pada 31 Oktober lalu.
Ketua Polis Daerah (KPD) Tawau, ACP Rosdi Mat Jusoh berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 5.50 petang ketika mangsa sedang membasuh tangan berhampiran kawasan pam angin dan air di stesen minyak berkenaan.
Menurutnya, siasatan awal mendapati pemandu kereta terbabit, seorang lelaki tempatan berusia 61 tahun, berhenti di stesen minyak itu untuk mengisi angin tayar kenderaannya.
Bagaimanapun, selepas mendapati hos pam angin tidak dapat mencapai tayar hadapan sebelah kiri, pemandu berkenaan kembali ke keretanya untuk mengubah kedudukan kenderaan.
“Ketika mengundur, pemandu dipercayai secara tidak sengaja menekan pedal minyak menyebabkan kereta bergerak secara tiba-tiba ke belakang sebelum melanggar mangsa yang berada di belakang kenderaan itu,” katanya dalam satu kenyataan.
Rosdi berkata, mangsa mengalami patah ibu jari tangan kanan, manakala pemandu terbabit tidak mengalami sebarang kecederaan.
Siasatan awal mendapati kejadian dipercayai berpunca daripada kecuaian pemandu yang gagal mengawal kenderaannya dengan baik ketika mengundur.
Katanya, pihak polis sudah menjalankan siasatan di lokasi kejadian dan sedang mengesan saksi lain yang berkemungkinan dapat membantu siasatan lanjut.
Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Sehubungan itu, Rosdi menasihatkan semua pengguna jalan raya supaya sentiasa berhati-hati dan memastikan kenderaan berada dalam kawalan, khususnya ketika mengundur di kawasan parkir dan stesen minyak.
Beliau turut mengingatkan pemandu supaya sentiasa peka terhadap keadaan sekeliling bagi mengelakkan kejadian tidak diingini yang boleh mengakibatkan kecederaan atau kehilangan nyawa.

KENDERAAN… Perodua Viva yang terbabit dalam kejadian melanggar seorang lelaki ketika mengundur di sebuah stesen minyak di Jalan Kuhara, Tawau, pada 31 Oktober lalu.



