Oleh JAMES LEONG
TAWAU: Dua insiden berasingan dilaporkan pada 25 April, masing-masing melibatkan kes ugutan dalam keluarga di Tawau dan kemalangan jalan raya di Semporna yang mengakibatkan seorang warga emas cedera.
Di Tawau, seorang lelaki berusia 32 tahun ditahan polis selepas dipercayai mengamuk dan cuba menyerang bapa kandungnya menggunakan tukul susulan pertikaian keluarga yang berpunca daripada salah faham.
Dalam kejadian itu, suspek dilaporkan bertindak agresif dan cuba memukul bapanya, namun mangsa berjaya mengelak serangan tersebut.
Bimbang keselamatannya terancam, mangsa segera membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kalabakan bagi membolehkan tindakan lanjut diambil.
Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Polis (ACP) Jasmin Hussin berkata, sepasukan anggota daripada Bahagian Siasatan Jenayah IPD Tawau bersama Balai Polis Kalabakan telah digerakkan ke lokasi kejadian.
“Pasukan kami berjaya mengesan dan menahan suspek di kawasan halaman sebuah rumah di pekan Kalabakan,” katanya pada Ahad.
Suspek kemudian dibawa ke balai polis untuk siasatan lanjut, dan kes disiasat di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana ugutan jenayah.
Sementara itu di Semporna, satu kemalangan jalan raya berlaku di Jalan Simpang Pegagau melibatkan sebuah van yang terbabas.
Pusat Gerakan Operasi menerima panggilan kecemasan pada jam 9.14 pagi.
Seramai lapan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Semporna yang diketuai Komander Operasi, PBK I Badri Alkap, tiba di lokasi kejadian sejauh kira-kira 20 kilometer pada jam 9.36 pagi.
Seorang mangsa lelaki berusia 65 tahun didapati tersepit di dalam kenderaan. Pasukan bomba menggunakan peralatan khas untuk mengeluarkan mangsa.
Mangsa diberikan rawatan awal di lokasi sebelum dihantar ke Hospital Semporna menggunakan ambulans EMRS bomba untuk rawatan lanjut.
Operasi berjaya dikawal pada jam 9.56 pagi dan ditamatkan sepenuhnya pada jam 10.04 pagi. Tiada agensi lain terlibat dalam operasi tersebut.

NAHAS …. Van yang mengalami kerosakan dalam kemalangan di Jalan Simpang Pegagau, Semporna pada Sabtu





