Manfaatkan AI, media sosial pelihara bahasa, identiti orang asal – Ewon

Oleh JOHN TAMBANAN


KOTA MARUDU: Persatuan etnik dan kebudayaan di Sabah disaran memanfaatkan teknologi kecerdasan buatan (AI) serta media sosial bagi memelihara dan mendokumentasikan bahasa, adat serta identiti masyarakat orang asal negeri ini.
Timbalan Ketua Menteri III Sabah, Datuk Ewon Benedick, berkata usaha memelihara identiti orang asal tidak seharusnya bergantung kepada bahan bercetak seperti buku dan kamus semata-mata, sebaliknya perlu dipelbagaikan menerusi pendekatan digital yang lebih dekat dengan generasi muda.
“Kita boleh menggunakan AI dan media sosial untuk membangunkan kamus digital serta menghasilkan kandungan mengenai bahasa, adat dan budaya masyarakat kita yang mudah diakses, khususnya oleh generasi muda,” katanya.
Beliau yang juga Menteri Pembangunan Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan Sabah berkata demikian ketika merasmikan Majlis Mongompok Batas anjuran United Sabah Tindal Organisation (Usto) di Padang Terbuka Kampung Tagaroh, di sini.
Ewon turut menggalakkan persatuan etnik bekerjasama menghasilkan lebih banyak kandungan digital bagi memperkenalkan keunikan identiti masyarakat orang asal, selain memastikan bahasa dan warisan mereka terus dipelihara.
“Kita mesti mempunyai pendekatan baharu dalam membangunkan masyarakat dan memastikan identiti kita terus terpelihara. Siapa lagi yang akan mengetengahkan bahasa, adat dan budaya kita kalau bukan kita sendiri,” katanya.
Pada masa sama, Ewon berkata pemeliharaan identiti perlu bergerak seiring pembangunan ekonomi dan keusahawanan menerusi pengisian seperti ekspo atau tamu kampung dengan kerjasama kementeriannya.
Sementara itu, Presiden Usto, James Baga, berkata pihaknya sedang mengusahakan penerbitan kamus tiga bahasa, iaitu Tindal, Melayu dan Inggeris, sebagai rujukan generasi muda mempelajari bahasa ibunda.
Katanya, Usto turut mendokumentasikan adat perkahwinan, pertunangan dan amalan tradisi masyarakat Tindal dalam bentuk buku bagi memastikan warisan berkenaan terus diwarisi generasi akan datang.

Ewon (tengah) merakam gambar kenangan bersama pemimpin Usto.