Oleh WU VUIDE
KOTA KINABALU: Kabinet Negeri Sabah yang baharu dibentuk melalui kerajaan perpaduan negeri komited untuk bekerjasama rapat dalam memacu kemakmuran dan kemajuan sepanjang lima tahun akan datang, kata Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor.
“Kita berada dalam posisi yang kukuh untuk meneruskan agenda ini, berbekalkan pembangunan pesat dan kemajuan yang telah dilaksanakan dalam tempoh lima tahun lalu.
“Kita bersedia melaksanakan Pelan Pembangunan Sabah Maju Jaya (SMJ) 2.0 yang holistik, inklusif dan komprehensif pada 2026,” katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Kabinet Negeri pertama di Menara Kinabalu, semalam.
Beliau menegaskan keperluan memperkukuh Kerajaan Negeri bagi memastikan kestabilan politik yang berterusan serta kesinambungan pembangunan tanpa gangguan.
Hajiji berkata kejayaan lima tahun lalu menunjukkan ketekunan usaha kerajaan dalam mewujudkan kestabilan dan persekitaran kondusif bagi pembangunan.
“Dengan pentadbiran baharu ini, saya dan barisan Kabinet akan memperteguh komitmen memastikan kestabilan serta mengangkat agenda politik berteras perpaduan dan pembangunan,” katanya.
Hajiji turut menegaskan iltizamnya: “Saya adalah Ketua Menteri untuk semua, berkhidmat secara adil kepada seluruh rakyat Sabah tanpa mengira latar belakang, kaum atau agama.”
Pada masa sama, beliau mengumumkan pembahagian portfolio 17 Pembantu Menteri yang mengangkat sumpah pada Selasa.
Bagi portfolio di Jabatan Ketua Menteri, pembantu menterinya ialah Datuk Joniston Bangkuai (GRS), Datuk Isnin Aliasnih (GRS) dan Datuk Mandela Malakun (GRS).
Di Kementerian Kerja Raya dan Kemudahan Utiliti, pembantunya ialah Datuk Limus Jury (GRS) dan Datuk Seri Ruddy Awah (GRS), manakala portfolio Pembantu Menteri Kewangan dipegang Datuk Ben Chong (GRS) serta Datuk Ishak Ayub (STAR).
Datuk Jonnybone Kurum (GRS) dilantik sebagai Pembantu Menteri Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan, manakala dua ADUN Bebas — Datuk Fairuz Renddan dan Datuk Maijol Mahap — dilantik sebagai Pembantu Menteri bagi Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan.
Datuk Haji Ruslan Muharam dan Datuk Hendrus Anding pula mengisi portfolio Pembantu Menteri di Kementerian Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan; manakala Datuk Samad Jambri serta Datuk Juil Nuatim menggalas peranan di Kementerian Pembangunan Luar Bandar. Dr Andi Rizal (GRS) dilantik sebagai Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar.
Dua lagi ADUN Bebas, Jordan Jude Ellron dan Datuk Rina Jainal, masing-masing dilantik sebagai Pembantu Menteri di Kementerian Pendidikan, Sains, Teknologi dan Inovasi serta Kementerian Pembangunan Wanita, Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat.

KABINET BAHARU …. Hajiji (duduk, keenam dari kanan) bersama barisan Kabinet Negeri yang baharu. Turut kelihatan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Safar Untong (kiri).





