Oleh JOHN TAMBANAN
KOTA KINABALU: Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) dan pemaju mukim diminta lebih proaktif turun padang, mengenal pasti keperluan rakyat serta menyampaikan dasar dan pencapaian kerajaan bagi memastikan masyarakat mendapat maklumat tepat mengenai usaha pembangunan negeri.
Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor, berkata PPM dan pemaju mukim merupakan tulang belakang kerajaan di peringkat akar umbi serta memikul amanah besar untuk memastikan dasar kerajaan dapat diterjemahkan dan difahami oleh rakyat.
Menurutnya, mereka juga bertanggungjawab menyalurkan masalah serta keperluan masyarakat kepada wakil rakyat, menteri dan kepimpinan kerajaan supaya tindakan sewajarnya dapat diambil.
“Peranan pemimpin-pemimpin masyarakat ini amat besar kepada saya dan juga kerajaan. Kita bukan sahaja perlu amanah dan mempunyai integriti tinggi, tetapi mesti memberikan kerjasama sepenuhnya kepada wakil-wakil rakyat yang telah memberikan kepercayaan kepada kita.
“Apabila turun padang, kita mesti pandai mendengar masalah rakyat dan melaporkannya kepada wakil rakyat, menteri serta Ketua Menteri,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan amanat pada Majlis Apresiasi dan Makan Malam Ketua Menteri Sabah bersama Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) Sabah di Sabah International Convention Centre (SICC), di sini, malam Ahad.
Hajiji berkata, PPM dan pemaju mukim juga perlu memastikan setiap permohonan serta keutamaan pembangunan di kawasan masing-masing disalurkan melalui saluran yang betul, bukannya diserahkan kepada pihak yang tidak sepatutnya.
Katanya, beliau mendapati terdapat permohonan yang dikemukakan oleh kontraktor, sedangkan perkara berkenaan sepatutnya disampaikan oleh PPM, Pegawai Daerah dan wakil rakyat mengikut saluran yang ditetapkan.
Sehubungan itu, beliau mahu PPM dan pemaju mukim memberikan kerjasama sepenuhnya kepada wakil rakyat yang telah memberikan kepercayaan kepada mereka untuk menjalankan tanggungjawab di kawasan masing-masing.
Ketua Menteri turut mengingatkan mereka supaya menjelaskan pencapaian kerajaan sepanjang lima tahun lalu serta program pembangunan yang bakal dilaksanakan dalam tempoh lima tahun akan datang menerusi agenda Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) 2.0.
Menurutnya, kerajaan negeri telah membelanjakan lebih RM1.2 bilion bagi membantu anak-anak Sabah dalam bidang pendidikan sepanjang lima tahun lalu, termasuk lebih RM600 juta untuk biasiswa dan pinjaman pendidikan yang memberi manfaat kepada lebih 16,000 pelajar.
“Antara bantuan lain ialah RM200 kepada setiap pelajar Tingkatan Lima sebelum menduduki peperiksaan, yang melibatkan kira-kira 35,000 hingga 40,000 pelajar setiap tahun.
“Kerajaan turut menyediakan bantuan RM300 kepada pelajar Sabah di institusi pengajian tinggi awam dan swasta di negeri ini untuk pulang menyambut Pesta Kaamatan, Hari Raya dan Krismas, selain subsidi tiket penerbangan RM600 setahun kepada pelajar Sabah yang menuntut di Semenanjung,” katanya.
Dalam aspek kebajikan, Hajiji berkata, kira-kira 140,000 penerima yang layak menerima bantuan RM200 setiap bulan menerusi inisiatif Sentuhan Kasih Rakyat (SYUKUR).
Selain itu, kerajaan negeri turut membina lebih 11,000 rumah menerusi program Rumah Mesra Sabah Maju Jaya (SMJ) bagi membantu rakyat yang memerlukan kediaman lebih selesa.
Menyentuh isu bekalan air, beliau berkata, kerajaan negeri membelanjakan lebih RM1 bilion bagi melaksanakan projek pembinaan dan peningkatan kapasiti loji rawatan air sepanjang lima tahun lalu.
Antara projek berkenaan ialah pembinaan loji rawatan air di Tawau yang mencatatkan kemajuan fizikal sekitar 50 hingga 60 peratus menerusi pembiayaan pinjaman mudah hampir RM400 juta.
Sementara itu, projek Loji Rawatan Air Kogopon di Papar yang menggunakan pinjaman mudah sebanyak RM385 juta dijangka siap dalam tempoh satu hingga dua bulan.
Katanya, kerajaan negeri turut memperoleh pinjaman mudah sebanyak RM300 juta bagi meningkatkan kapasiti loji rawatan air di seluruh Sabah, dengan beberapa projek sudah siap manakala selebihnya dijangka diselesaikan tahun depan.
Beliau berkata, Sabah masih berdepan kadar air tidak berhasil (NRW) sekitar 60 peratus akibat kecurian air dan kebocoran paip.
Sehubungan itu, sebanyak RM100 juta diperuntukkan bagi menggantikan paip lama dan rosak di beberapa daerah, termasuk Kota Kinabalu, Ranau, Kudat dan Pulau Banggi.
Menurutnya, bagi menangani masalah bekalan air dalam jangka panjang, kerajaan negeri sedang melaksanakan projek Empangan Ulu Padas menerusi kerjasama Sabah Energy Corporation dan syarikat swasta, Gamuda.
Projek berkenaan bukan sahaja bertujuan menjana bekalan tenaga elektrik, malah menyediakan sumber air bagi memenuhi keperluan negeri untuk tempoh 50 hingga 60 tahun akan datang dan dijangka siap pada 2030 atau 2031.
Dalam pada itu, Hajiji berkata, PPM turut memainkan peranan penting dalam menjelaskan isu pembangunan jalan raya dan kemudahan awam berdasarkan fakta, termasuk membezakan bidang tanggungjawab kerajaan negeri dengan Kerajaan Persekutuan.
Katanya, mereka perlu membantu menyampaikan maklumat yang tepat kepada rakyat, khususnya golongan yang tidak mengikuti perkembangan menerusi media sosial, bagi mengelakkan salah faham terhadap dasar dan usaha pembangunan yang dilaksanakan kerajaan.

Hajiji Haji Noor, menunjukkan Buku Pelan Strategik UPPM selepas melancarkannya bersama Sistem Pelaporan Digital UPPM (E-LAPA) pada Majlis Apresiasi dan Makan Malam Ketua Menteri bersama UPPM Sabah di SICC, pada Ahad.









