Tingkatkan kawalan di pintu sempadan – Masiung

Oleh JOHN TAMBANAN


KOTA KINABALU: Pihak berkuasa berkaitan diminta memperketatkan kawalan di semua pintu sempadan negara ini khususnya di Sabah.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuamut, Datuk Masiung Banah berkata, selepas negara diancam kemasukan ‘magic mushroom’ sejenis perisa rokok elektronik (vape), kini timbul lagi ancaman bahan sintetik baharu dikenali sebagai ‘blackout atau zombi’.
Katanya, walaupun belum terdapat laporan kes bahan berbahaya itu di negeri ini, namun pihak berkuasa seperti Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Imigresen dan Kastam perlu mengawasi semua pintu masuk ke Sabah.
“Mengikut laporan AADK, varian baharu dilabelkan ‘blackout’ itu 100 kali lebih kuat daripada morfin. Dadah sintetik itu juga dikenal pasti telah memasuki pasaran gelap di negara ini.
“Cecair terlarang itu bukan sahaja boleh dijadikan perisa vape, tetapi turut dicampurkan dalam minuman atau makanan selain dititiskan pada batang rokok sebelum disedut,” katanya dalam kenyataan.
Sembil mematik laporan AADK, Masiung berkata, cacair ‘blackout atau zombi’ mengandungi dos berlebihan, di mana pengguna khayal dan pasif tidak sedarkan diri.
Katanya, bahan itu juga dicampurkan dengan ketamin dan sejenis racun yang berbahaya kepada fizikal manusia.
“Pengguna akan hilang kewarasan dan hilang fikiran sekali gus menyerang saraf otak dan sistem fizikal.
“Kemasukan bahan terlarang itu ke negara ini merangkumi pelbagai taktik termasuk pengangkutan laut dan udara,” katanya.
Masiung tidak menolak kemungkinan bahan terlarang itu diproses oleh sindiket antarabangsa atau tempatan untuk pasaran gelap di negara ini.
Beliau menegaskan, sindiket berkenaan mungkin menggunakan pelbagai cara termasuk penghantaran pos dan aplikasi atas talian untuk mengaburi pihak berkuasa.

MASIUNG BANAH